Memeriahkan kedaatangan bulan Syawal tidak lama lagi, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil dengan single terbaharu berjudul Lip Lap Raya.

Menurut Siti, lagu Lip Lap Raya adalah sebuah lagu yang dapat menarik minat pendengar walaupun baru pertama kali mendengarnya.

Lazimnya sebuah lagu baru akan mengambil masa untuk diterima atau digemari tetapi muzik yang ditampilkan menerusi lagu Lip Lap Raya akan dapat melekat di hati pendengar.

"Saya gembira kerana dapat merakamkan lagu Lip Lap Raya serta menambah koleksi lagu raya nyanyian saya. Saya sangat berharap agar lagu ini turut menjadi sebuah lagu raya evergreen pada satu hari nanti," ujar Siti yang turut menyiapkan video muzik Lip Lap Raya, arahan Aaron Lee.

Untuk rekod, kali terakhir beliau muncul dengan single raya pada tahun 2016 menerusi lagu Hari Kemenangan.

Lagu dan lirik Lip Lap Raya adalah ciptaan bersama Ajay Amai, Glow Rush, Karim Karam dan Mike Chan. Lagu ini menggabungkan rentak inang, canggung serta turut diselitkan elemen dikir barat manakala liriknya pula berkisarkan kemeriahan sambutan hari raya setelah dua tahun berada dalam fasa pandemik.

Penerbit lagu, Glow Rush mengatakan bahawa keistimewaan pada lagu Lip Lap Raya adalah daripada gabungan elemen tradisional dan moden seperti penggunaan dram elektronik, synth serta vokal Siti yang menjadi kekuatan lagu tersebut.

Pihak Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd dan Universal Music Malaysia sebagai penerbit bersama single Lip Lap Raya, yakin dengan penerimaan peminat muzik tanahair terhadap karya terbaharu Siti Nurhaliza ini.

Video muzik rasmi Lip Lap Raya boleh ditonton di saluran youtube Siti Nurhaliza bermula 20 April 2020, jam 9 malam.

Lagu Lip Lap Raya sudah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, JOOX, KK Box dan Deezer bermula 20 April 2022.