Gara-gara menghalang penjawat awam bertugas semasa kejadian kemalangan dua remaja di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong pada Ahad, tujuh lelaki direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Georgetown, Nur Fadrina Zulkhairi pada Selasa.

Menerusi laporan Astro Awani, kesemua mereka berumur antara 23 hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

Selain itu, mereka turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Untuk rekod, kesemua mereka sebelum ini ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjong Tokong semalam selepas dipercayai menggunakan kekerasan terhadap anggota polis.

Kesemua mereka dikatakan menolak, mengajak bergaduh dan mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap polis ketika kejadian.

Malah mereka mendakwa anggota polis telah menendang sebuah motosikal dinaiki dua remaja lelaki sehingga menyebabkan kemalangan serta kecederaan kepada penunggang motosikal terbabit.

Kejadian itu kemudian tular di media sosial yang mengundang pelbagai persepsi terhadap PDRM.

Kebenaran berhubung kes kerkenaan kemudian terungkai apabila seorang penunggang motosikal sempat merakam situasi tersebut menerusi rakaman ‘dashcam’ miliknya.

Sementara itu, tinjauan Gempak di media sosial mendapati ramai netizen yang mahukan mana-mana individu yang melempar kata-kata kesat di media sosial terhadap polis sebelum ini tampil bersuara.

Menurut mereka, dengan terbongkarnya rakaman sebenar, berkemungkinan ramai yang membuat pusingan 'u-turn'.

“Mulut celupar yang tuduh polis hari tu apa cerita”.

“Orang yang korang backup now dah masuk lokap”.

“Harap polis bagi reward kepada empunya video” tulis beberapa netizen.