FILEM
Acha Septriasa Dedah Pernah Ditawar Berlakon Dalam Filem Sheriff Namun Terpaksa Tolak - “Saya Sangat Terbuka Berlakon Di Malaysia”
Pelakon popular Indonesia, Acha Septriasa mendedahkan bahawa dirinya pernah menerima tawaran untuk berlakon dalam filem pecah panggung Malaysia, Sheriff.
Menurut Acha, hasrat itu terpaksa dilupakan kerana komitmennya terhadap penggambaran filem Qodrat 2 di Indonesia pada waktu yang sama.
"Saya sangat terbuka untuk berlakon di Malaysia.
"Sebenarnya saya dapat tawaran untuk berlakon dalam filem Sheriff. Harusnya saya juga berlakon dalam Sheriff.
"Tapi saya terpaksa tolak kerana ketika itu saya sedang buat penggambaran Qodrat 2," dedahnya.
Tambah Acha, dia juga berkongsi mempunyai hubungan baik dengan produksi dan keterbukaannya terhadap peluang berlakon di Malaysia.
"Pengarah Sheriff itu sangat rapat dengan pengurus saya juga. Jadi kalau ada filem di Malaysia, saya selalu dijemput untuk hadir," ujarnya lagi.
Filem Qodrat 2 bukan sekadar filem seram biasa, tetapi menyentuh elemen spiritual yang sangat dekat dengan masyarakat kita.
Untuk info, filem Qodrat 2 terbitan MAGMA Entertainment dan Astro Shaw ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.