FILEM
Acha Septriasa Tak Sangka Doa Dimakbulkan 10 Minit Selepas Solat - “Saya Doa Agar Dapat Job Yang Dekatkan Diri Dengan Allah”
Pelakon terkenal Indonesia, Acha Septriasa, berkongsi momen menyentuh hati apabila doanya untuk mendapat job lakonan yang mendekatkan dirinya kepada Allah dimakbulkan dalam tempoh hanya 10 minit selepas dia menunaikan solat Asar.
Bercakap kepada Gempak, Acha mendedahkan bahawa dia memohon dengan sepenuh hati agar diberikan tawaran lakonan yang bukan sahaja digemarinya, malah mampu menguatkan hubungannya dengan Sang Pencipta.
“Saya masih ingat, setelah solat Asar saya berdoa bersungguh-sungguh. Saya cakap, ‘berikanlah job filem yang saya sukai, kalau boleh berikanlah pekerjaan yang mendekatkan saya dengan Kau, Ya Allah’,” ujar Acha penuh emosional.
Secara mengejutkan, tidak lama selepas itu, Acha menerima panggilan daripada pengarah filem Qodrat 2, Charles Gozali, yang menawarkan watak penting dalam filem terbitan Magma Entertainment dan Astro Shaw itu.
“Hanya 10 minit kemudian, doa saya itu dijawab. Saya dapat panggilan dari pengarah Charles dan dia maklumkan ada watak untuk saya dalam Qodrat 2,” katanya.
Acha yang memegang watak Azizah dalam filem tersebut, mengakui terkejut dan terpinga-pinga apabila diminta hadir ke Jakarta untuk sesi latihan, walaupun pelakon-pelakon lain telah pun memulakan sesi tersebut.
“Saya bingung sekejap, sedangkan tadi baru saja berdoa meminta job. Charles minta saya datang ke Jakarta dan saya bertemu dengannya ketika pelakon lain sudah buat latihan.
“Ia sangat menakjubkan. Saya tak dapat ungkapkan bagaimana rasanya,” katanya lagi.
Filem Qodrat 2 bukan sekadar filem seram biasa, tetapi menyentuh elemen spiritual yang sangat dekat dengan masyarakat kita.
Untuk info, filem Qodrat 2 terbitan MAGMA Entertainment dan Astro Shaw ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.