Pelakon Badrul Muhayat mengagumi kreativiti pelakon muda tanah air yang banyak mengubah landskap industri seni semasa.

Jelas Badrul yang popular menerusi filem Riang Tirana sekitar tahun 1991, dia akui seronok untuk bekerja bersama pelakon generasi baharu.

"Walaupun dah lama tak berlakon saya tidak alami kejutan budaya pun. Tetapi mendapat satu rangsangan ketika bekerja dengan pengarah muda

"Lakon layar mereka berbeza dengan cara kerja orang lama.

"Bukan maksud saya hasil kerja orang lama tak bagus, tetapi disebabkan orang muda menggunakan peralatan canggih, ia membantu menghasilkan kualiti yang baik," jelasnya.

Bagaimanapun, Badrul akui ada antara bakat muda yang punyai masalah disiplin seperti lewat datang ke set penggambaran.

"Saya akui pelakon baharu punyai bakat lakonan yang mengagumkan namun ada yang berdepan masalah disiplin.

"Ada saja yang selalu datang lambat ke lokasi penggambaran. Tetapi daripada sudut lakonan, mereka bagus!" tambahnya.

Badrul, 52, muncul semula dalam industri hiburan selepas enam tahun menghilangkan diri untuk memberikan tumpuan kepada bidang perniagaan di Johor.