Personaliti media sosial, Farah Lee mendedahkan bahawa dia pernah mencari duit poket untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan menjadi pembeli peribadi (personal shopper) ketika menuntut di United Kingdom.

Menurut Farah yang juga bekas isteri pengacara Ally Iskandar itu, dia melakukan kerja tambahan itu bagi menampung segala perbelanjaan dirinya ketika menyambung pengajian di peringkat Sarjana pada 2018.

"Bagaimana boleh saya biaya sendiri segala kewangan untuk pengajian sarjana Di UK? Di UK, saya mulakan busines lain. Saya menjadi pembeli peribadi. Siapa buat Sarjana Pendidikan di UK mesti tahu tugasan banyak gila, reading list tebal gila, thesis panjang gila.

"Bagaimanapun, saya masih curi-curi masa untuk bertahan dengan kehidupan di sana.

"Adakalanya penat sangat, nangis sambil bungkus kotak-kotak pesanan yang nak hantar masuk kontena balik Malaysia. Berat, besar, dan buat seorang diri. Haha memori betul," katanya menerusi satu entri di Instagram.

Farah melakukan kerja tambahan itu berikutan dirinya menyambung pelajaran tanpa menggunakan sebarang kemudahan biasiswa.

Bukan itu sahaja, kata Farah sebelum berangkat ke UK, dia juga sudah membuat segala persiapan lebih awal dengan memastikan bisnes pakaian yang diusakannya tetap berjalan biarpun berada di negara orang.

"Kurang dua bulan, saya selesaikan setahun @ommaesabel punya sampel dan koleksi. Masa tu dah lah sibuk pindah pejabat, pindah rumah, uruskan dokumen untuk universiti dan visa, ulang-alik pergi jumpa tukang jahit, cari fabrik dan berjaga malam buat rekaan.

"Hampir setiap hari dalam tempoh itu saya ambil paracetamol, malam-malam insomnia dan loya-loya. Saya tak makan jadi perut masuk angin rasanya," katanya yang mengimbau cabaran yang dilaluinya sebelum ini.

Begitupun, kata Farah dia sanggup berkorban melakukan itu semua kerana dirinya cukup cintakan ilmu.

Farah merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak di University of Leeds, United Kingdom.

Terdahulu, Farah pernah menuntut di Universiti Inha, Korea Selatan dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

Foto kredit: @ommaesabel