Untuk generasi muda sekarang, nama kumpulan ‘thrash metal’ popular tempatan Freedom That’s Gone (FTG) mungkin agak asing.

Namun, FTG memiliki kumpulan pengikut setia mereka sendiri yang sering mengikuti perkembangan dan tidak putus memberikan sokongan.

Yang terbaru, selepas hampir 15 tahun menyepi tanpa sebarang album, muncul membuat kejutan dalam industri muzik tanah air.

Baru-baru ini FTG telah melancarkan album terbaru mereka, 'Kau Jangan Kurang Ajar!' yang diterbitkan oleh Rockstage Entertainment.

Ditanya adakah muzik ‘thrash metal’ masih diterima ramai atau mempunyai pendengar, FTG berkata, mereka membuat keputusan untuk mengeluarkan album terbaru juga kerana permintaan peminat.

“FTG ada kumpulan peminat tersendiri dan kami yakin dengan peminat setia FTG yang sekian lama menantikan album terbaru dari FTG.

“Alhamdulillah, Talib Othman daripada Rockstage Entertainment berminat untuk mengeluarkan album kami,” kata Tajul yang merupakan vokalis FTG.

Sementara itu, FTG mengakui tajuk album kali ini berhubung kait dengan realiti semasa dalam negara yang kemudiannya diterjemahkan dalam bait dan alunan muzik mereka.

Sungguhpun judul-judul lagu yang terkandung dalam album 'Kau Jangan Kurang Ajar' kedengaran agak kasar, namun ia sarat dengan mesej dan dekat dengan keadaan semasa.

“Kalau orang baca tajuk sahaja macam lagu Kita Bukan Anjing, Kalau Bodoh Jangan Sombong, Pengkhianat Lahanat dan Dajjal memanglah mereka anggap kasar.

“Tetapi kalau mereka mengikut FTG sejak dulu, setiap lagu yang kami cipta memang sentiasa terkait dengan realiti semasa.

“Ada juga yang kata lagu kami sinikal, tetapi kami tidak pernah menunding jari kepada mana-mana pihak.

“Terserahlah kepada pendengar untuk mentafsirkannya,” kata pemain bass FTG, Mie.

Dalam perkembangan lain FTG akan turun padang untuk mempromosikan album Kau Jangan Kurang Ajar dalam beberapa siri jelajah dalam masa terdekat ini.

Antaranya, FTG akan menggegarkan Kuantan pada 26 Oktober ini selain Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan seterusnya Johor.

Untuk permulaan, pihak Rock Stage Entertaiment mensasarkan jualan sebanyak 5,000 unit.