Hiburan
"Ada Pakcik Makcik Yang Tawarkan Saya.." - Sebulan Menduda, Alha Alfa Terima Banyak Mesej Lamaran Wanita
Jurusolek selebriti terkenal, Datuk Alha Alfa mendedahkan dia banyak menerima mesej daripada individu tak dikenali yang berhasrat mahu menjadikannya calon suami.
Selepas sebulan bercerai, Alha juga mendedahkan ada ibu bala yang mahu menjadikan dirinya menantu tanpa mengeluarkan belanja hantaran yang tinggi, lapor mStar Online.
"Selepas saya berpisah dengan bekas isteri, saya bukan sahaja dihujani mesej kecaman netizen, malah sampai sekarang saya turut menerima mesej lamaran daripada individu tidak dikenali.
"Ada yang menyatakan hasrat ingin saya menjadi suami mereka dan sanggup susah senang bersama... lebih mencuit hati apabila ada makcik dan pakcik yang tawarkan saya berkahwin dengan anak mereka tanpa wang hantaran dan tidak perlu diadakan sebarang majlis.
"Sejujurnya, untuk cari pengganti belum terfikir lagi buat masa ini... kalau sekadar kenal-kenal untuk berkawan itu bolehlah! Bukan mudah untuk cari teman hidup, bekas isteri dulu pun lima tahun kami berkawan sebelum berkahwin," katanya kepada mStar.
Tambah Alha, selepas episod perceraiannya didedahkan, dia menerima kecaman teruk daripada wargamaya.
"Selepas saya buat pengumuman itu, saya dikecam teruk netizen, saya akui menangis sendirian dalam bilik... Mujurlah ada kakak yang datang menemani!
"Bagaimanapun, masih ada kawan-kawan termasuklah rakan artis yang beri semangat dan minta saya kuatkan diri berdepan ujian ini sampaikan saya tak sangka orang yang saya tak pernah kenal pun beri sokongan," katanya.
Mengakui keadaan terkini semakin baik, Alha kini sudah boleh melalui kehidupan dengan lebih tenang dan yakin setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah.
Alha juga percaya Allah lebih mengetahui disebalik apa yang terjadi terhadap dirinya.
Sumber: mStar Online
Must-Watch Video