HIBURAN
Dikritik Tak Layak Ganti Awal Ashaari Dalam ‘Impak Maksima 2’, Ini Respons Arfie Shah - “Sudah Pasti Satu Tekanan…”
Pelakon Arfie Shah tidak mengambil hati dengan kritikan segelintir netizen yang menganggap dirinya tidak sesuai memainkan watak utama dalam filem Impak Maksima 2 menggantikan pengacara Awal Ashaari.
Peluang & kepercayaan
Mengambil setiap komen negatif sebagai penguat semangat, Arfie atau nama sebenar Adwafri Shaharuddin bersyukur dengan peluang dan kepercayaan diberikan oleh sutradara naskhah itu, Dr Ahmad Idham.
ARTIKEL BERKAITAN: Minggu Pertama Penuh Cabaran, Arfie Shah Kenang Detik Berlakon Bersama Datuk Rosyam Nor
“Awal Ashaari antara penyumbang utama yang berjaya melonjakkan filem Impak Maksima pertama. Saya bersyukur kerana diberi peluang menaiki ‘kapal’ yang sama pernah dinaiki Awal.
“Saya tidak rasa apa-apa yang negatif dengan komen netizen atau sebagainya, sebaliknya anggap ini satu peluang dan rezeki.
“Saya juga sudah bersedia dengan setiap perbandingan mahupun kritikan selepas filem ini keluar di pawagam.
“Sudah pasti satu tekanan buat saya kerana filem ini ada satu tempat istimewa di hati penonton sebelum ini,” katanya kepada Gempak.
Pelakon berusia 32 tahun itu berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Impak Maksima 2, di MARDI Serdang, baru-baru ini.
Terima lakonannya
Dalam pada itu, Arfie berharap penonton dapat menerima lakonannya dalam filem tersebut yang bakal menjengah pawagam seluruh negara pada 17 Julai ini.
“Perasaan sangat gembira dan bersyukur kerana diberi peluang berlakon dalam sebuah naskhah yang menjadi fenomena pada 18 tahun lalu.
“Terima kasih abang Ahmad Idham. Dia sangat membantu dalam lakonan saya, malah ini merupakan filem pertama saya. Harap penonton boleh terima lakonan saya,” ujarnya.
Selain Arfie, Impak Maksima 2 turut dibintangi Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Nelissa Nizam, Aydeel Idham dan ramai lagi.
Must-Watch Video