Penerbit dan aktres berprofil tinggi, Puan Sri Tiara Jacquelina berkongsi cara menangani tekanan ketika pandemik COVID-19.

Menurut Tiara, beliau tidak gemar menumpukan perhatian pada hal yang tidak dapat dikawal, sebaliknya terus memikirkan strategi yang patut dilakukan.

"Semua orang terkesan dengan pandemik COVID-19, saya bersimpati dengan mereka yang kurang bernasib baik, mana yang boleh bantu kita bantu.

"Pada masa sama, kita harus sedar, ada perkara yang kita boleh kawal, ada juga yang tak mampu dikawal.

"Jika kita tak boleh kawal, lebih baik lepaskan sahaja, jangan terlalu memikirkannya, cuba cari jalan apa yang kita boleh lakukan untuk menyelesaikan masalah.

"Bagi saya, amat penting untuk kita bersiap sedia berhadapan waktu berakhirnya pandemik ini, ketika itu, kita harus tahu apa yang perlu dilakukan," katanya kepada Gempak.

Berkongsi lanjut, Tiara juga tidak mengendahkan perkara negatif di media sosial yang mampu mencetuskan kerisauan masyarakat.

"Ketika detik sukar ini, ada sahaja pihak menyampaikan mesej dan perkara tidak sahih yang boleh mencetuskan kerisauan masyarakat.

"Saya memang sekat perkara negatif seperti ini, lebih baik kita letakkan diri kita dalam persekitaran yang selamat dan positif. Kesihatan mental dan menyayangi diri sendiri amat penting," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Tiara kini kembali dalam bidang lakonan menerusi siri Keluarga Baha Don 3 selepas 17 tahun sibuk dengan kerja di kerusi pengarah dan penerbit.

Sebelum ini, beliau meninggalkan kesan yang cukup berpengaruh dengan filem ikonik Puteri Gunung Ledang yang dilancarkan pada tahun 2004.

BACA: Tiara Jacquelina Kembali Berlakon Selepas 17 Tahun