Tiga bulan menyepi dari industri seni, pelakon Aniq Suhair mengakui dia terpaksa berehat selama tempoh itu disebabkan oleh bapanya.

Menurut Aniq, tempoh berehat itu kerana memikirkan tentang permintaan bapanya yang mahukannya untuk melanjutkan pelajaran di Mesir dalam bidang agama.

“Tiga bulan lepas, saya berehat seketika daripada industri. Antara faktornya adalah kerana ayah mahu saya melanjutkan pelajaran di Mesir dalam bidang agama.

“Pada saya, permintaannya bagus kerana belajar adalah perkara yang baik, tapi saya sudah menapak dalam industri seni, kenapa saya perlu berhenti di saat nama disebut-sebut.

“Sebabkan itu, saya mengambil sedikit masa untuk berehat kerana mahu berfikir sebaik-baiknya,” kata Aniq.

Aniq ditemui ketika majlis pelancaran program raya Astro di Hotel Le Meridien Petaling Jaya pada Khamis.

Bagaimanapun, Aniq meluahkan rasa syukur apabila dia berjaya menyakinkan bapanya untuk terus berada dalam industri seni dalam pada sama melanjutkan pelajaran di Malaysia saja.

“Alhamdulillah, saya telah berjaya yakinkan dan berjanji pada ayah, saya boleh melanjutkan pelajaran di sini dalam masa boleh bekerja (berlakon).

“Saya bersyukur juga sebab ayah sangat gembira… dia nampak progress saya,” ujarnya.