Ada Sebab Pelakon Ola Bola Perlu Diuji Bakat Lagi- Tiara Jacquelina

Fiza Kamarudin
Ogos 21, 2017 14:18 MYT

Meskipun sudah menjadi pelakon utama filem Ola Bola, namun pengarah Puan Sri Tiara Jacquelina akui bintang utama filem tersebut perlu menjalani uji bakat seperti pelakon baru yang lain untuk Ola Bola The Musical.

Tiara memberitahu kebolehan pelakon di layar perak tidak sama apabila berlakon di atas pentas dan dia perlu melihat keupayaan bintang filem itu dahulu sebelum dipilih.
"Berlakon di dalam filem atau depan kamera tidak sama apabila mereka perlu berlakon di atas pentas yang besar tanpa boleh silap sedikit pun.
"Sebenarnya jika seorang pelakon itu sudah berpuluh tahun berlakon di hadapan kamera sekalipun, belum tentu mereka boleh berlakon teater di atas pentas.
"Tenaga yang diperlukan juga berbeza, mereka perlu ada engergy yang luar biasa untuk berlakon secara live di hadapan beribu penonton yang hadir.
"Tambah pula ia merupakan teater muzikal, jadi mereka bukan sahaja perlu pandai berlakon malah perlu ada bakat dalam nyanyian dan tarian.
"Jadi ada sebab mengapa saya panggil pelakon-pelakon asal filem ini untuk diuji bakat dahulu sebelum dipilih menyertai pemetasan muzikal ini," katanya kepada Astro Gempak.
Tiara ditemui ketika uji bakat Ola Bola The Musical dijalankan di Enfiniti Academy, semalam.
Mengulas mengenai peserta serta pelakon yang hadir untuk uji bakat pada hari tesebut, Tiara tidak sangka ia mendapat sambutan yang menggalakan termasuk kanak-kanak berusia seawal 10 tahun.

"Saya seronok tengok semangat serta usaha mereka yang datang hari ini. Semuanya menojolkan bakat masing-masing dengan baik.

"Kanak-kanak pun berani datang uji bakat dan menonjolkan bakat mereka.
"Setakat ini kita belum uji bakat separuh pun daripada lebih 200 penyertaan pada hari ini tetapi saya sudah nampak potensi untuk beberapa watak yang kita ada.
"Saya juga bangga melihat pelakon Ola Bola sanggup datang uji bakat dengan menonjolkan bakat mereka dalam nyanyian dan tarian," katanya lagi.
Selain Tiara, juri yang turut terlibat adalah penyanyi Altimet, Joanna Bessey , Mia Palencia serta beberapa juri lain seperti pengarah muzik dan pengarah kareografer.
Pementasan Ola Bola The Musical akan berlangsung di Istana Budaya, Februari tahun hadapan.
Terdahulu, filem Ola Bola ditayangkan pada 28 Januari tahun lalu di 120 pawagam di seluruh negara berjaya mencapai kutipan mencecah RM12 juta pada hari ke-18 tayangannya.
Teks oleh: Syafiqah Jalal

#pelakon #Pelakon #Tiara Jacquelina #Bola #Ola