Laman Utama
"Ada A, Tak Ada Gagal" - Bella Dowanna Enggan Kongsi Keputusan Penuh SPM, Rancang Belajar ...
Pelakon Bella Dowanna Halim bertegas untuk tidak berkongsi lebih lanjut keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru diumumkan minggu lalu.
Jelas Bella, 18, dia mengakui segan untuk menceritakan kepada orang ramai biarpun keputusannya baik dan lulus semua mata pelajaran.
"Alhamdulillah... keputusan SPM saya okay. Saya ada dapat A dan paling penting tak ada pun yang gagal.
"Kalau boleh memang saya tak nak kongsi keputusan itu. Dengan kawan- kawan pun saya segan nak kongsikan.
"Insya-Allah, saya memang ada perancangan untuk sambung belajar dalam jurusan perniagaan. Tapi mungkin bukan dalam masa terdekat. Sebab kalau boleh saya memang nak seimbangkan berlakon dengan belajar," katanya kepada Gempak.
Bella berkongsi perkara terbabit menerusi sesi sidang media drama bersiri Budak Tebing 2 secara virtual pada Selasa.
Sementara itu, Bella akui berdepan cabaran untuk mengulangkaji pelajaran untuk menduduki SPM disebabkan jadualnya yang bertindih dengan penggambaran drama.
Hal itu bagaimanapun tidak menghalang Bella untuk terus mengulangkaji pelajaran bersama gurunya menerusi kelas khas secara peribadi.
"Kebetulan masa saya jalani penggambaran drama itu, saya tengah nak ambil SPM juga. Memang agak mencabar untuk belajar dan pada masa yang sama kena pergi shooting juga.
"Kadang-kadang tak ada masa nak study... nak pergi sekolah pun tak dapat sebab shooting pun awal pagi. Tapi saya ada ambil kelas personal dengan cikgu untuk catch up apa yang saya terlepas," ujarnya.
Berdasarkan keputusan SPM 2020 yang diumumkan minggu lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan Gred Purata Nasional (GPN) mencatatkan rekod terbaik dalam tempoh lima tahun.