Ada Yang Kata Pakai Sampin Instant Tak Cukup Jantan, Aaron Aziz: “Itu Untuk Memudahkan Kaum Lelaki, Pandangan Masing-Masing”
Mya Amri
10/04/2024 09:55 MYT
10/04/2024 09:55 MYT
Pelakon dan usahawan, Datuk Aaron Aziz berpendapat pemakaian samping segera adalah sebuah inovasi yang akan memudahkan urusan lelaki di hari raya.
Menurut Aaron, sepanjang lima tahun menjual samping raya di Singapura, sambutan yang diterima sangat menggalakkan sehingga menyebabkan meluaskan pasaran ke Malaysia tahun ini.
“Saya sudah pasarkan samping instant sejak lima tahun lalu, cuma fokus jualan adalah kepada rakyat Singapura di bazaar. Sambutan yang diterima memang sangat bagus.
“Oleh itu, tahun ini kita cuba keluarkan semula dan luaskan pasaran kepada masyarakat di Malaysia.
“Idea rekaan ini hanya satu iaitu untuk memudahkan kaum lelaki. Berdasarkan pengalaman sendiri, jika pakai samping biasa, baru beraya tiga buah rumah sudah tidak selesa.
“Kedudukannya pun mudah senget dan renyuk apalagi kalau kita bawa motor atau menaiki kereta,” katanya ketika ditemui Gempak.
Aaron ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Filem The Experts yang berlangsung di Glenmarie Hotel & Golf Resorts, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Hormat pendirian orang lain
Bagaimanapun kata Aaron, dia menghormati pendirian sesetengah orang yang ingin mengekalkan pemakaian sampin dengan kaedah tradisional.
“Namun jika ada yang berpendapat memakai samping instant membuatkan anda tidak cukup jantan, itu pandangan masing-masing.
“Perkara seperti ini saya ibaratkan seperti lauk. Tidak semua suka makan nasi lemak dan nasi ayam. Jadi, tak mengapa,” ujarnya.
BERITA TRENDING: “Ibarat Macam Berbual, Tapi Itu Bukan Saya” - Jadi Sasaran Scammer, Aaron Aziz Buat Laporan Polis & Aduan MCMC
Terdahulu, terdapat perdebatan perdebatan netizen di media sosial yang berpendapat sekiranya lelaki dewasa memakai samping instant, mereka kelihatan seolah-olah tidak cukup jantan.
Dalam perkembangan terkini, Aaron bakal membintangi sebuah filem aksi heist tempatan tahun ini bertajuk The Experts.
Filem yang turut dijayakan Mimi Lana, Remy Ishak, Maya Karin, Tony Eusoff, Syafiq Kyle dan Ray Dap Dap tersebut bakal menemui penonton pada 23 Mei ini.