“Ada Yang Lupa Saya Sebenarnya Penyanyi…” - Dafi
Asyikin Mayudin
20/08/2024 14:55 MYT
20/08/2024 14:55 MYT
Bulan Ogos menjadi sebuah pemulaan yang sangat dinantikan penyanyi Dafi selepas lama memerhati waktu yang tepat untuk keluar daripada ‘pertapaan’.
Mukadiman untuk menyapa
Mempertaruhkan single terbaru berjudul Hellooo!, Dafi atau pemilik nama penuh Gadaffi Ismail Sabri memilih frasa sapaan sebagai mukadimah untuk menyapa satu sama lain.
“Sudah lama sebenarnya saya tidak tampil dengan single baru, sehinggakan ada yang lupa saya sebenarnya penyanyi. Ini kerana saya lebih memberikan fokus kepada bidang lakonan.
“Memandangkan karya ini sudah lama berada dalam simpanan dan sudah dirakamkan, ini adalah masa terbaik untuk dilancarkan khas untuk halwa telinga semua pihak.
ARTIKEL BERKAITAN: Dafi Dedah Punca Tak Ada Dalam Gambar Keluarga, ‘Tutup Mulut’ Mengenai Dakwaan Kakak Bakal Nikah - “Nak Buat Macam Mana, Saya Ada…”
ARTIKEL BERKAITAN: Situasi Berbeza Ketika Dafi Bergelar Anak PM Malaysia - “Bila Dah Tak Ada, Semua Hilang Begitu Saja”
“Beberapa tahun tertangguh, tidak dinafikan ada rasa ralat dalam diri kerana semuanya sudah disiapkan cuma ada hal teknikal yang tidak dapat dielakkan menyebabkan ia disimpan dahulu,” kata Dafi.
Hellooo! mempunyai signifikasi terhadap karya garapan komposer Shazee Ishak dan lirik pula, Altimet apatah lagi lagu ini sudah beberapa tahun dalam simpanan.
Hala tuju muzik
Jejaka berusia 36 tahun ini turut menjelaskan hala tuju muziknya kini sudah berubah apabila mempamerkan sisi kematangan terutama dalam menyebarkan aura positif.
“Semakin dewasa dalam bermuzik, saya ingin menyajikan kelainan sewaktu menyampaikan lagu yang penuh dengan semangat muda, persahabatan dan juga aura positif.
“Saya dikenali menerusi lagu Bila Terasa Rindu, namun saya ingin bereksperimentasi dengan muzik sejajar dengan peningkatan usia, sekali gus memberi impak positif kepada kerjaya.
“Single ini begitu istimewa kerana dihasilkan dua figura yang juga merupakan idola saya dalam industri. Karya yang mereka hasilkan sering mencetuskan magis, jadi pertama kali mendengar Hellooo!, saya sudah jatuh cinta,” katanya.
Simbolik kekuatan
Berkongsi lanjut mengenai single terbaharunya itu, Dafi menyifatkan Hellooo! menjadi simbolik kepada kekuatan dirinya yang tidak pernah berputus asa dalam hidup.
Pernah mencipta nama menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kelima, anak kedua daripada empat bersaudara itu tidak melihat percubaannya dalam bidang seni sebagai pematah semangat sebaliknya meneruskan langkah untuk berjuang.
“Sebagai anak seni, keadaan sebegitu sedikit pun tidak mematahkan semangat saya dalam meneruskan kerjaya yang saya cintai ini.
“Hellooo! merupakan suara hati saya. Selepas lebih sedekad bergiat aktif dalam bidang ini, saya lebih matang dan berpendirian.
“Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan namun saya masih bersemangat dan tidak berputus asa dalam bidang seni.
“Ini kerana saya mempunyai minat mendalam dalam bidang seni dan saya tidak akan mudah berputus asa begitu saja,” katanya.
Selain menghadiahkan peminat dengan buah tangan terbaru, Dafi juga berharap dapat menarik peminat dari kalangan generasi muda untuk mengenali dirinya.
Tak terikat
Dafi yang kini bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana label mengakui lebih bebas berkarya dan bereksperimentasi meneroka arena nyanyian.
Hellooo! boleh didengari menerusi platform penstriman seperti Apple Music, Spotify, Joox, Youtube Music, Tik Tok, Amazon Music, Tidal dan Deezer bermula 16 Ogos lalu.