Penyanyi baru, Farra Umyra mengakui sedikit tersinggung apabila ada sesetengah netizen yang meminta lagu terbarunya itu dinyanyikan oleh Stacy mahupun Ara Johari.

Baru saja mengeluarkan single kedua bertajuk Tetap Setia, lagu terbabit merupakan ciptaan Stacy dan suaminya Akim Ahmad.

Menurut Farra atau nama penuhnya Farah Umaira Paruwis, lagu terbabit telah pun dimuat naik di YouTube pada 21 September lalu dan hingga kini ia telah pun mencapai 98,489 tontonan.

Kata Farra, biarpun menerima pelbagai reaksi positif pendengar, namun tidak kurang juga yang meninggalkan komen yang tidak menyenangkan.

"Ada yang kata lagu ni tak best sebab tak kenal saya dan tidak kurang juga meminta lagu ini diberikan kepada Stacy atau Ara.

"Katanya sebab suara dan cara penyampaian saya sama seperti Stacy, jadi baiklah beri kepada Stacy," katanya.

Tambah Farra, dia pada awalnya sedikit terasa hati dengan kecaman berkenaan, namun menguatkan semangat untuk terus berjuang dalam industri.

"Mungkin disebabkan lagu ini dicipta oleh Stacy dan dia jugalah beri tunjuk ajar dalam menyampaikan lagu ini hingga membuatkan saya kedengaran sepertinya," katanya.

Untuk rekod, Farra kini bernaung di bawah syarikat Rhythym & Rhyme Entertainment kendalian pasangan penyanyi Akim dan Stacy,

Farra sebelum ini pernah mengeluarkan single pertama berjudul Hancur Dalam Waktu.

Lagu tersebut telah berjaya mencecah 500,000 tontonan dalam tempoh sebulan selepas dimuat naik di YouTube pada Mei tahun lalu.

Anda boleh lihat single keduanya di bawah: