BERITA
Tidur Dengan Mayat Suami Selama Tujuh Hari
Seorang wanita bertindak meracun suaminya sendiri sehingga mati setelah tidak lagi mampu menanggung penderaan fizikal yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu.
Mangsa, seorang lelaki dikenali sebagai LK, 45, warga Desa Catakgayam, Kecamatan Mojowarno, disahkan maut di tangan isterinya, FP, 47, warga Desa Carangrejo, Kecamatan Kesamben, dalam kejadian di Jawa Timur, Indonesia.
Menurut pihak berkuasa, mayat lelaki tersebut ditemui dalam keadaan sudah reput di rumah sewa pasangan itu di Dusun Karang Tengah, Desa Johowinong, Kecamatan Mojoagung pada Rabu lalu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polres Jombang, AKP Margono Suhendra, memaklumkan bahawa FP turut meminta bantuan seorang individu untuk mengalihkan mayat suaminya dari dapur ke bilik tidur selepas kejadian pembunuhan berlaku.
“Pasangan ini telah berkahwin secara siri (perkahwinan tidak didaftarkan secara rasmi) sejak tahun 2014.
"Namun, hubungan mereka dilaporkan mulai bermasalah sejak 2019,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan mendapati, FP telah membeli racun tikus dan potasium sianida dari sebuah kedai pertanian pada 11 Mei lalu.
Dua hari selepas itu, dia mencampurkan bahan tersebut ke dalam air minuman suaminya, sebelum memberikannya kepada mangsa.
Difahamkan, FP tinggal bersama mayat suaminya selama tujuh hari sebelum berpindah ke rumah saudara selepas jiran-jiran mula menghidu bau busuk dari kediaman mereka.
"Suspek turut menjual kesemua perabot di rumah berkenaan sebelum berpindah," tambah Margono.
Menurutnya lagi, kes pembunuhan itu terbongkar selepas FP sendiri tampil membuat pengakuan kepada pihak polis dan mendedahkan motif sebenar perbuatannya pada Rabu lalu.
FP kini telah dinamakan sebagai suspek dan berdepan hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara maksimum 20 tahun jika didapati bersalah mengikut undang-undang jenayah Indonesia.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video