Keluang Man
Ada Yang Pertikai Ketinggian Tak Sama Keluang Man, Nas Muammar Zar Komen - “Saya Sedar, Diri Tak Tinggi Tapi…”
Pelakon, Nas Muammar Zar tidak cepat melatah apabila ada yang mengatakan ciri-ciri fizikalnya tidak bersesuaian dengan watak superhero ikonik Malaysia iaitu Keluang Man.
Menurut Nas, perbandingan seperti itu pasti akan wujud lebih-lebih lagi mengenai tahap ketinggiannya.
Namun Nas menganggap perkara itu bukanlah satu masalah dan sebagai seorang pelakon dia akan menggalaskan tanggungjawab untuk membawakan naskhah popular itu dengan baik.
“Saya tahu dalam animasi, watak Borhan itu tinggi dan saya sedar diri yang saya tak tinggi, tapi dalam undang-undang perfileman, ketinggian bukanlah satu masalah.
“Pelakon-pelakon semua boleh menggunakan teknikal dengan menampakkan diri mereka itu tinggi, contohnya kita ada ramai pelakon Hollywood antaranya Tom Cruise.
“Dia tidak tinggi tetapi mereka boleh buat shot yang menampakkan Tom Cruise itu tinggi. Jadi benda itu tak menjadi masalah,” ujarnya.
Nas berkata demikian ketika ditemui semasa majlis sidang media memperkenalkan barisan pelakon filem Keluang Man yang berlangsung di The Bee, Publika pada Selasa.
Mengulas mengenai pemilihannya sebagai Keluang Man, Nas berkata dia telah melalui sesi uji bakat sebanyak empat fasa.
“Sejujurnya saya masih lagi gementar dan rasa tidak percaya yang saya dipilih sebab prosesnya sangat sukar.
“Jadi dengan mengikut banyak uji bakat yang mempunyai empat fasa, alhamdulillah dan pengarah iaitu Anwari pun ada bercakap kenapa dia pilih saya.
“Semasa sesi uji bakat itu lagi dia adjust lakonan saya dan nampak saya makin dekat dengan watak Borhan. Jadi sebab itu saya rasa yakin untuk ambil watak ini,” katanya.
BERITA TRENDING: Nas-T Diumum Sebagai Keluang Man
Selain Nas, turut diumumkan tiga watak utama lain iaitu Shamsir yang dipegang oleh Remy Ishak, Ahmad yang menjadi milik Datuk Rosyam Nor serta Inspektor Sahab yang diberikan kepada Anwar Beg Mughal.Filem ini bakal diarahkan oleh pencipta bersama trilogi filem Polis Evo serta merupakan pengarah dan showrunner drama premium popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf yang turut bertindak sebagai penulis skrip.
Astro Shaw kini dalam fasa pra-produksi dan sesi penggambaran Keluang Man dijangka bermula April 2034.
Keluang Man dijadualkan tayangannya pada 2025.
Untuk info, Keluang Man merupakan siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan berjayamencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaanMalaysia.
Sementara menantikan filem Keluang Man ditayangkan, peminat setia serta penonton generasi baru boleh menonton siri animasi popular ini di www.keluangman.com sekarang bermula dari musim pertama sehingga musim ketiga.
Sinopsis:
Keluang Man memaparkan kisah tentang seorang pesakit psikiatri yang menjadi adiwira bertopeng dalam membenteras jenayah.
Must-Watch Video