Menerusi lagu Faded yang mencetuskan fenomena seluruh dunia, kemunculan deejay (DJ) popular dari United Kingdom Alan Walker ini pastinya antara ditunggu-tunggu peminat seluruh dunia.

Namun, tahukah anda Alan Walker bakal membuat kemunculan khasnya di Malaysia tidak lama lagi?

Tidak menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi utama, Alan Walker sebaliknya bakal membuat persembahan di Sarawak menerusi Borneo Music Festival Live 2020 pada 10 dan 11 April ini.

Diadakan di Sarawak Cultural Village, kawasan unik bakal membawa penonton ke ‘dunia borneo’ itu sendiri.

Difahamkan, lokasi ini berkeluasan 17 ekar dan menempatkan banyak replika rumah kaum etnik Sarawak di dalam satu kawasan rekreasi.

Tambah menarik, kawasan Sarawak Cultural Village ini turut dikelilingi dengan kekayaan hutan flora dan fauna. Memang unik!



Selain Alan Walker, festival muzik ini turut disertai DJ Soda (Korea Selatan), DJ Alexis Grace (Malaysia), Nicole Chen (Singapura), DJ X Factor (Filipina), DJ Venom C dan Moski Love (Indonesia), LFDY (Live Fast Die Young) dari Taiwan serta Alex X dari China.

Tidak hanya membawakan penghibur antarabangsa, acara ini turut dihiasi persembahan daripada pemuzik kebanggaan Sarawak sendiri iaitu At Adau, Tuku Kamek, DJ Chaca Feroza, DJ Myvax dan DJ Ice-Cream.

Penganjuran festival yang dibawakan khas oleh BME International ini merupakan hasil kerjasama antara Benta Mewah selaku penaja.

Pada masa sama, festival ini turut menyaksikan kolaborasi hebat Firmament Event Studio bersama More Entertainment.

Tiket untuk Borneo Music Festival Live 2020 bakal dijual pada 14 Januari bermula 12 tengah hari menerusi airasiaredtix.com/tickets/BMFL2020.