Kesedaran vaksin untuk ibu hamil semakin tinggi dalam kalangan wanita selepas kisah menyayat hati penyanyi Siti Sarah yang meninggal dunia akibat Covid-19. Kebetulan Allahyarham belum sempat menerima suntikan vaksin kerana sarat hamil.

Namun terbaharu timbul pula isu apabila ada sesetengah suami tidak mengizinkan isterinya untuk mengambil vaksin Covid-19 kerana kononnya bimbang akan kesan sampingan kepada bayi mereka.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil menjelaskan bahawa vaksin Covid-19 selamat dan ia merupakan hak setiap wanita untuk mendapatkan perlindungan diri.

“Saya ada menerima beberapa aduan berkenaan para suami yang tidak mengizinkan isterinya yang hamil untuk menerima vaksin. Ingin saya jelaskan bahawa vaksin COVID-19 adalah selamat.

“Adalah menjadi hak setiap wanita untuk mendapatkan ikhtiar perlindungan melalui program vaksinasi yang disediakan oleh Kerajaan. Berbincanglah dengan baik dan saya pasti ramai pakar di Pusat Pemberian Vaksin sudi membantu untuk meleraikan pertanyaan dan kekeliruan berkenaan vaksin COVID-19,” katanya.

Dr Zulkifli berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.

Pada masa sama beliau turut menjelaskan hukum pengambilan vaksin dalam Islam selepas mengambil kira hasil maklumat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta perbincangan oleh ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang terdiri daripada para Mufti dan Ahli Dilantik Majlis Raja-Raja pada 12 Ogos 2021M bersamaan 3 Muharam 1443H.

“Kami bersetuju memperakukan keputusan terdahulu dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 Tahun 2020, iaitu; Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia

“Sebagaimana yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, adalah amat penting pengambilan vaksin COVID-19 bagi ibu hamil dengan mengikut nasihat pegawai perubatan bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti COVID-19.

“Muzakarah juga menasihatkan kepada semua umat Islam untuk mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung hal ini,” tegasnya.

A post shared by Menteri di JPM (HEA) (@drzulkifli.albakri)