Penyanyi baru yang merupakan anak tunggal kepada penyanyi rock lagenda Datuk Hattan, Adam Eiman memilih untuk tidak menggunakan nama dan popularitinya bapanya untuk terus berada dalam industri seni.

Ketika ditemui Gempak, Adam, 22, menyatakan ayahnya tidak mengetahui tentang penglibatannya pada waktu awal.

"Saya tak pernah beritahu dia yang saya nak masuk dalam indutri muzik. Dia tahu sendiri bila saya dah keluar lagu bersama kawan. Tapi dia okay saja saya dalam industri ini.

"Saya pun cuba elak untuk menggunakan populariti dia untuk masuk dalam dunia seni. Saya tak nak gunakan seratus peratus populariti ayah.

"Tapi sudah tentu ayah akan sentiasa ada untuk lindungi saya daripada perkara yang tidak baik dalam industri. Dia pun sentiasa beri tunjuk ajar pada saya," katanya.

Sementara itu, Adam atau nama sebenarnya Adam Eiman Mohd Shukri Sahabuddin akui terpaksa menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan bapanya buat kali kedua kerana masih banyak yang perlu dipelajari.

"Ada perbincangan nak bekerjasama dengan ayah lagi tapi bila nak bekerja dengan ayah ini lain sikit... sebab kami mempunyai pendapat yang berbeza.

"Tapi kalau dengan kawan sendiri macam Yonnyboii, kami boleh saling tegur menegur kalau ada salah.

"Kalau dengan ayah ini, macam takut sikit nak bercakap soal kerja. Sebab ayah ini seorang yang tegas dalam membuat sesuatu.

"Sebenarnya bukanlah susah nak kerja dengan ayah tapi ada banyak lagi yang saya perlu belajar," katanya lagi.

BACA: “Saya Nak Jadi Penyanyi Hip-Hop, Ayah Okay Je…” – Adam Eiman