Penyanyi, pelakon dan pelawak Joey Daud mengakui sedang mengalami masalah saraf melibatkan jari tengah tangan kanan dan jari telunjuk tangan kirinya.

Masalah saraf dipanggil ‘trigger finger’ itu menyebabkan kedua-dua jari Joey kebas dan tersangkut ketika dibengkokkan.

“Saya mula sedar jari-jari saya ada masalah bila terasa kebas ketika saya mula hendak melukis. Jadi saya berhenti melukis buat seketika.

“Doktor kata saya pegang berus mengecat terlalu lama. Saya akui perkara tersebut kerana saya melukis setiap hari lebih dari 6 jam sehari ketika terlibat dengan projek mural di bandaraya Muar.

A post shared by Joey Daud (@joey_daud)

“Tambahan lagi berus yang digunakan untuk mengecat mural pula bersaiz besar dan saya menggenggam terlalu lama ketika bekerja.

“Sekarang ini sudah lebih tiga bulan saya mengalami masalah saraf ini dan doktor cadangkan untuk melakukan pembedahan untuk membetulkan kembali saraf yang tersepit.

“Tetapi saya ambil keputusan untuk melakukan rawatan fisioterapi untuk ‘trigger finger’,” katanya kepada Gempak.

Sedikit info tambahan kepada pembaca Gempak, ‘trigger finger’ adalah satu keadaan di mana jari anda tersangkut semasa di posisi bengkok.

Ia akan mengeluarkan bunyi (´snap´) semasa diluruskan. Dalam keadaan teruk, jari mungkin akan tersangkut dan kekal dalam keadaan bengkok.

Ia memerlukan bantuan jari lain untuk diluruskan dan di susuli dengan sakit yang amat sangat.

‘Trigger finger’ adalah disebabkan oleh kesempitan salur tendon di jari kita. Sebab utama kesempitan ini adalah pergerakan menggenggam yang berulang oleh jari yang terlibat.

Ia lebih biasa ditemui pada kaum wanita diantara umur 40 – 60 tahun. Risiko untuk mengalami ‘trigger finger’ adalah lebih pada pesakit diabetes mellitus dan rheumatoid arthritis.

[[Baca info lanjut mengenai ‘trigger finger’]]

Joey ditemui ketika majlis pelancaran filem 10 Tips Tipu Bini di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur, petang semalam (Selasa).

Filem bergenre komedi arahan Azizi Chunk Adnan itu dibintangi oleh Khir Rahman, Ropie, Joey Daud, Elizabeth Tan, Jehan Miskin, Vicha dan Nasir Bilal Khan itu boleh ditonton di Astro First, saluran 480 mulai 7 Januari depan.

Filem 10 Tips Tipu Bini mengisahkan tiga sahabat baik yang takut dengan isteri masing-masing.