HIBURAN
Ada Hubungan Istimewa Dengan DJ Internasional? Ini Respons Sabronzo Dolla - “Saya Terharu Ramai Nak Tahu…”
Anggota kumpulan Dolla, Sabronzo tampil memberi respons mengenai spekulasi dirinya sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang DJ antarabangsa, seperti didakwa oleh segelintir netizen.
Menurut Sabronzo atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rusli, 30, hubungan mereka kini hanyalah sekadar berkawan dan tidak lebih dari itu.
“Kami berkawan. Itu sahaja yang saya boleh katakan buat masa sekarang,” ujarnya ringkas ketika ditemui di majlis pelancaran lagu baharu Dolla berjudul MWA! yang berlangsung di Bukit Bintang baru-baru ini.
Dalam pada itu, Sabronzo turut meluahkan rasa terharu atas perhatian yang diberikan oleh para peminat terhadap kehidupan peribadinya.
Namun, menegaskan bahawa tiada perkembangan serius atau pendedahan yang ingin dikongsi mengenai hubungan peribadinya ketika ini.
“Saya terharu bila ramai peminat yang berminat untuk tahu tentang kehidupan saya. Tetapi buat masa sekarang saya tiada apa yang serius dan tiada perkara besar yang akan berlaku. Untuk topik ini memang tiada perkembangan lain.
“Saya minta maaf, saya sangat berharap dapat berkongsi dengan lebih lagi. Tapi memang tak ada apa-apa untuk dikongsikan.
“Sekarang ini memang tumpuan saya 100 peratus kepada Dolla. Kami baru sahaja keluarkan lagu baharu bertiga. Jadi tahun ini akan kembali sibuk dengan kerjaya muzik,” kongsinya.
Dalam masa yang sama, Sabronzo juga masih tetap dengan pendirian untuk tidak berkongsi hal peribadi di media sosial mahupun secara umum.
“Saya jarang berkongsi tentang kehidupan peribadi saya termasuklah tentang keluarga saya atau kawan-kawan. Saya ingin melindungi mereka daripada terkena tempias negatif netizen. Biar saya sahaja yang kena. Tetapi untuk orang yang saya sayang, saya akan cuba untuk tidak mendedahkan mereka,” katanya lagi.
Penyanyi dan anggota kumpulan Dolla, Sabronzo, tidak menafikan atau mengiyakan mengenai dakwaan bahawa dirinya kini sedang menjalin hubungan istimewa dengan seseorang.
Terdahulu, Sabronzo berjaya menyorot perhatian ramai apabila tidak menafikan atau mengiyakan mengenai dakwaan bahawa dirinya kini sedang menjalin hubungan istimewa dengan seseorang.
Malah, lebih menarik lagi apabila Sabronzo dilihat memakai cincin di jari manis, yang kemudiannya didedahkan sebagai hadiah hari lahir ke-30 daripada seseorang yang istimewa.
Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak mendedahkan identiti individu tersebut.
Must-Watch Video