Edisi Raya All Out daripada syarikat rakaman Universal Music Malaysia diteruskan dengan mempersembahkan gandingan pertama kali penyanyi Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha dan Sophia Liana menerusi lagu raya, RAYA TERBAIK.

Universal Music Malaysia sebelumnya melancarkan single Balik Kampung yang menggabungkan lima penyanyi dan rapper popular, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, Asyraf Nasir dan Yonnyboii, Dolla dan Hael Husaini untuk lagu Suara Lebaran Kita dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza (Lip Lap Raya) dan The Gadys (Gadys Raya).

Lagu RAYA TERBAIK hasil adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ajay Amai, Banni Basyishar, Sophia Liana dan Ja’a.

Kerjasama antara Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha dan Sophia Liana ini tidak dijangka tambahan pula ketiga bintang berbakat ini mempunyai laluan kerjaya masing-masing.

Mengetengahkan konsep ceria, lagu RAYA TERBAIK membawa pendengar mengimbau kembali kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman selain meraikannya bersama orang tersayang.

Perwatakan dan kekuatan vokal yang berbeza memberikan ‘mood’ menjadikan lagu ini lain daripada lagu raya lain.

Penerbit lagu RAYA TERBAIK, Banni Basyishar lagu ini menggabungkan beberapa eleman muzik tradisional.

"Lagu ini adalah gabungan muzik inang, joget dan sedikit koplo pada bahagian korus. Rentak tradisional ini diiringi oleh alat muzik dan bunyi moden. Sudah lama lagu raya tidak menampilkan muzik sebegini dan bagi saya ia satu lagi kelainan dan keistimewaan," katanya.

Bagi Dayang Nurfaizah, dia menyifatkan RAYA TERBAIK adalah lagu raya yang seronok seperti yang disampaikan dalam lirik.

"Lagu ini sangat ‘fun’, seronok dan kalau tengok lirik ia lebih menunjukkan pada kemeriahan suasana hari raya. Jadi harapan saya kepada sesiapa saja yang mendengar lagu ini terutama peminat saya, kalau dengar lagu ini mereka dapat ‘vibes’ kemeriahan berhari raya bersama keluarga.

"Proses rakaman sangat senang dan semuanya berjalan lancar. Masing-masing ada bahagian. Saya masuk dulu, sementara Hannah dan Sophia rakam kemudian. Sebelum rakam saya ada juga berjumpa dengan Hannah, sebab nak tengok bahagian mana sesuai untuk saya dan untuk Hannah. Sewaktu rakaman pun sekali dengan komposer dan penerbit untuk lagu ini. Jadi proses rakaman lagu ini sangat mudah," katanya.

Sama seperti penggambaran video muzik (MV) lagu ini, menurut Dayang ia berlangsung dalam suasana yang meriah sama seperti apa yang digambarkan dalam lirik.

"Penggambaran MV ambil masa lama sebab membabitkan tiga artis. MV ini kita cuba tunjukkan suasana hari raya yang kita sambut meriah dan raikan bersama keluarga. Itu yang kita cuba sampaikan sama seperti dalam lirik lagu ini. Secara keseluruhan memang seronok walaupun penat," katanya.

Hannah teruja

Bagi Hannah Delisha pula, dia berpendapat lagu RAYA TERBAIK adalah lagu raya yang segar dan mampu menarik perhatian pencinta muzik tanah air.

"Ini adalah lagu raya. Sudah tentu lagu ini menceritakan mengenai detik gembira yang kita semua alami semasa menyambut hari raya. Raya adalah mengenai berkumpul dengan keluarga dan rakan-rakan kita.

"Jadi, lagu ini memberikan ‘vibes’ yang menyeronokkan, segar dan sangat menarik. Ia juga kolaborasi lagu raya pertama saya dengan dua wanita berbakat dalam industri muzik ini. Sangat teruja untuk semua orang mendengar lagu ini," katanya.

Dalam masa sama, Sophia juga komposer bersama lagu RAYA TERBAIK ini berasa bangga apabila diberi peluang menjayakan projek ini bersama Dayang dan Hannah.

"Saya sangat bangga, ini adalah lagu raya pertama saya. Alhamdulillah diberikan peluang untuk bekerjasama dengan Dayang dan Hannah. Terima kasih Universal Music Malaysia.
Sejujurnya, saya sangat teruja menjayakan projek ini.

"Cabaran nak siapakan lagu ini, pertamanya saya agak sukar untuk mencari melodi untuk rap. Sebab lagu raya, ia kena ceria dan mudah didengar. Jadi nak cari melodi dan untuk orang terima rap dalam lagu raya ini agak sukar.

"Saya ambil masa sehari untuk siapkan ‘verse’ saya. Ada juga input daripada Mike Chan untuk tambah sikit pada bahagian hujung korus.

Shooting bulan puasa

"Bagi MV pula, cabaran adalah kerana berpuasa. Jadi cepat dahaga, penat berganda dan macam-macam lagi. Tapi kita cuba untuk kuatkan diri walaupun penggambaran dari petang hingga sahur. Kami cuba juga habiskan dengan tenaga dan positiviti yang ada. Tapi perkara yang paling menarik adalah saya dapat bekerja dengan Dayang dan Hannah untuk siapkan lagu ini," katanya.

Sama seperti Dayang dan Hannah, Sophia juga mengharapkan lagu RAYA TERBAIK dapat diterima baik oleh pendengar.

"Harapan saya agar pendengar akan sentiasa gembira, ceria bersama keluarga, bila dengar lagu ini. Kalau boleh, banyakkan lagi video di Instagram, TikTok dengan menggunakan lagu ini. Saya juga harapkan agar kolaborasi kami ini diterima dengan hati terbuka. Harapnya suka dengan rapper saya juga," katanya.

RAYA TERBAIK kini sudah tersedia di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Manakala tayangan muzik videonya dijadualkan pada hari Jumaat berikutnya, 29 April 2022 jam 9 malam.