UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
HIBURAN

Afdlin Shauki Syukur SPRM Sahkan Tiada Elemen Jenayah Dalam Kes Salah Laku DBKL - “Saya Doakan Pemfitnah Itu…”

Khairil Khusyairi 18/02/2025 | 04:55 MYT
Pelakon dan pengarah popular, Datuk Afdlin Shauki meluah rasa syukur tidak terhingga apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan tidak wujud elemen jenayah atas dakwaan salah laku projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bernilai RM4 juta yang dikaitkan dengannya sebelum ini.

Ambil Keputusan Untuk Diam Diri

Afdlin,54, yang merupakan Ahli Lembaga Penasihat DBKL itu turut mendoakan individu yang membuat fitnah terhadap dirinya itu diberikan kelembutan hati.

“Segala puji untuk Allah SWT yg telah menegakkan keadilan. Cakap banyak tak guna, kalau orang tak suka kita dia akan memanjangkan fitnah ini.

“Itu sebab saya mengambil keputusan untuk duduk diam dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa agar tidak mengganggu siasatan.

“Syukur Alhamdulillah dan saya mendoakan pemfitnah saya itu Allah lembutkan hatinya," katanya dalam satu kenyataan.

Yakin Tak Lakukan Kesalahan

Afdlin turut menegaskan dirinya tidak melakukan kesalahan malah tenang ketika berdepan isu tersebut kerana sentiasa mendapat sokongan orang rapat.

“Terima kasih kepada isteri saya, anak-anak saya, keluarga saya dan semua rakan-rakan yang memberi sokongan moral kepada saya pada ketika saya dalam kesusahan.

“Saya tidak melatah kerana yakin saya tidak melakukan apa apa kesalahan, tapi tak guna saya yang cakap. Biarlah pihak berkuasa yg menentukan.

“Cuma hari ni saya kenal siapa sahabat saya dan siapa bukan,” kongsinya.

Doakan Pemfitnah Diampunkan

Dalam pada itu, Afdlin turut berharap kepada individu yang menyebarkan fitnah terhadapnya agar diberikan keampunan dosa.

“Kepada yang memanjangkan fitnah ini saya berdoa yang baik baik untuk anda semua agar Allah SWT memaafkan kita semua.

“Lawan tetap Lawan. Lawan sampai menang!

“Terima kasih SPRM, PDRM, DBKL dan semua badan yang terlibat di dalam penyiasatan,” tutupnya.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila timbul dakwaan Afdlin antara individu didakwa terlibat dalam peroleh projek penerbitan bahan kreatif bernilai jutaan ringgit.
Dalam satu kenyataaan, Afdlin bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan turut membuat laporan polis atas perkara tidak benar yang disebarkan itu.

#pelakon #Pelawak #Afdlin Shauki #Pengarah #Jenayah #SPRM #DBKL #Rasuah #Siasatan #Salah Laku