Baru-baru ini viral isu mengenai peruntukan sebuah dana COVID-19 yang digunakan untuk penyediaan tudung.

Dana berkenaan dikatakan mencecah RM280,000 untuk 8,000 helai tudung dan telah mencetuskan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Antara yang terkesan dengan isu tersebut adalah Dr. S Malarsanthi.

Menerusi satu posting di Facebook miliknya, doktor tersebut melahirkan rasa kecewa apabila ramai menyalah tafsir tentang dana tudung itu hingga ada yang mengaitkan ia dengan isu perkauman.

"Agama saya tidak meminta saya pakai tudung ini. Tapi 'bangsa' saya, bangsa Healthcare Workers mewajibkan saya pakai tudung.

"Jadi mereka yang racist di luar sana, sila malu dengan diri sendiri!

"Tudung ini sebahagian daripada PPE (personal protection equipment) dan saya beragama Hindu," katanya.

Posting terbabit mendapat perhatian ramai sehingga mendapat lebih 15,000 perkongsian di laman Facebook.

Rata-rata netizen menyokong entri doktor terbabit dan turut mengecam segelintir pihak yang cuba membangkitkan isu perkauman.

Sementara itu, menerusi satu lagi posting di FB, doktor ini turut memuat naik video yang memaparkan langkah-langkah memakai PPE.

"Ramai tanya berapa lapis, saya buatkan satu video supaya senang nak faham," katanya.

Anda boleh lihat video tutorial berkenaan di bawah:

Terdahulu, jurucakap MedTweetMY telah memberi penjelasan tentang fungsi sebenar 'tudung' yang diguna oleh barisan hadapan di hospital merawat pesakit COVID-19.

Tudung yang dimaksudkan merupakan sebahagian daripada pakaian perlindungan diri atau PPE yang bertujuan memberi perlindungan seluruh badan termasuk rambut, leher dan tangan pemakai baik lelaki atau perempuan.