Sempena hari ulang tahun kelahiran yang ke-43, penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob mengagihkan 100 bungkus makanan secara rawak kepada orang awam dan ‘rider’.

Mahu meraikan ulang tahun kelahiran yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadan, agihan makanan dibuat di tempat-tempat yang dikunjungi Fazley, semalam.

“Sempena Ramadan dan ulang tahun saya yang ke 43, saya bersama team restoran saya @malamala_my menyediakan 100 bungkus makanan buat rider dan sesiapa sahaja yang berada di kawasan-kawasan yang saya pergi,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram (IG).

Dalam pada itu Fazley turut berkongsi rasa gembira dan teruja dapat menyambut ulang tahun kelahiran bersama orang ramai.

“Saya berniat nak bagi makan untuk berbuka puasa. Pelbagai orang yang saya jumpa semasa pengagihan makanan itu.

“Selain riders, ada juga anak-anak kecil meminta sedekah, yang menjual tisu, pakcik-pakcik dari golongan gelandangan, anak-anak muda sedang menunggu waktu berbuka, orang asing, pejalan kaki on the way mencari juadah berbuka, juga sekumpulan skateboarders.

“Dalam masa singkat tu dapat beramah mesra dengan ramai orang. Buat saya rasa happy sangat,” katanya.

Di ruangan komen, rata-rata pengikut memuji sikap Fazley yang pemurah dan selalu bersedekah di samping mendoakan bapa kepada empat orang anak itu sentiasa dimurahkan rezeki serta berada dalam rahmat Allah SWT.

A post shared by Dato' Fazley Yaakob (@fazleyyaakob)