Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agung, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disahkan positif COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin dalam satu kenyataan media dikeluarkan di Facebook rasmi Istana Negara, hari ini.

Jelas Ahmad Fadli, Sultan Abdullah berkenan menjalani kuarantin di Istana Negara sehingga 7 April manakala Raja Permaisuri pula sehingga 8 April ini.

"Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menjalani kuarantin kendiri di Istana Negara hingga hari Khamis, 7 April 2022, setelah disahkan positif COVID-19.

"Manakala, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj menjalani kuarantin kendiri di Istana Negara hingga hari Jumaat, 8 April 2022, setelah juga disahkan positif COVID-19," jelasnya.

Bagaimanapun, baginda berdua dimaklumkan hanya mengalami gejala ringan dan berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan tidak membimbangkan.

"Bersempena ketibaan bulan Ramadan yang mulia, Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong menyeru rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik COVID19 kelmarin (1 April 2022).

"Seluruh rakyat diseru untuk bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda berdua dikurniakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan keafiatan yang berpanjangan," ujarnya.

Seluruh rakyat turut diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka berdua dikurniakan kesembuhan dengan segera serta keafiatan yang berpanjangan.