Laman Utama

Aidilfitri Tanpa Ibu, Radin Tanggung Rasa Rindu - "Tahun Ini Suasana Ramadan & Aidilfitri Paling Sayu Sepanjang Hidup Saya"

gempak
Zulaikha Yusof
17/05/2021
09:55 MYT
Sponsor Banner
Aidilfitri Tanpa Ibu, Radin Tanggung Rasa Rindu - "Tahun Ini Suasana Ramadan & Aidilfitri Paling Sayu Sepanjang Hidup Saya"
Pengacara dan penyampai radio ERA, Radin, 31, mengakui Hari Raya Aidilfitri tahun ini adalah paling sayu suasananya selepas kehilangan ibu tersayang, Feridah Hashim, 67, pada Februari lalu.
Menurut Radin, arwah ibu yang akan menyediakan segala persiapan untuk keluarga mereka termasuk memilih pakaian dan juadah hari raya.
"Tahun ini, suasana Ramadan dan Aidilfitri paling sayu sepanjang hidup saya. Kalau sebelum ini, segala persiapan raya akan difikirkan untuk arwah mama iaitu baju raya, kuih raya dan segala keperluan raya di kampung.
"Arwah mama seorang yang sangat particular dalam segala hal. Sepanjang tahun, pakaian raya kami satu keluarga akan sedondon.
"Dari segi warna pakaian, arwah mama akan hubungi saya dulu, minta saya pilih dan bila ada kata putus, kami akan tempah baju raya di kedai. Belikan arwah baju raya merupakan kenangan yang paling tak boleh dilupakan.
"Apa yang saya paling rindu adalah momen masak rendang ayam setiap kali pada malam raya. Arwah akan masak dengan menggunakan dapur arang, katanya baru rasa rendang raya. Memang juadah kegemaran kami adik-beradik makan rendang ayam dengan nasi impit.
"Memang tiada persiapan apa pun yang saya lakukan untuk tahun ini. Cuma ada beli sedikit kuih raya untuk jamah sendiri. Sempat juga la saya tukar duit raya. Tapi, kerajaan dah umumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula," katanya kepada Gempak.
Tambah pemilik nama Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, sepanjang hayat arwah ibunya, dia seorang yang suka bersedekah dan apabila tiba Aidilfitri wajib berkongsi masakan dengan jiran tetangga serta tetamu.
"Momen raya dua tahun lepas bersama arwah mama di Ipoh, kami sedondon berbaju merah dan ketika itu keadaan kesihatan arwah mama sedikit merosot.
"Tapi arwah mama tetap akan buat persiapan memasak untuk hari raya. Tambahan, arwah mama suka bersedekah dan setiap kali raya, pasti akan masak lebih untuk dikongsikan bersama jiran dan tetamu yang datang beraya ke rumah," katanya.
Dalam pada itu, pengacara program Media Hiburan Throwback akur apabila tidak dapat pulang ke Ipoh untuk menziarahi kubur kedua ibu bapanya.
"Kali terakhir saya ziarah kubur arwah mama pada 11 April lalu. Masa itu ada penggambaran di Pulau Pinang untuk program Tak Kot Raya bersama Siti Elizad.
"Saya sempat singgah dan ziarah kubur arwah mama buat seketika. Masa itu perasaan sayu, rindu yang tak dapat ditanggung dan hanya Allah sahaja yang tahu," katanya lagi.
Terdahulu, ibu Radin meninggal dunia pada 18 Februari lalu di kediamannya di Ipoh selepas menghidap penyakit paru-paru berair, sejak beberapa tahun lalu.
BACA: Ibu Radin ERA Meninggal Dunia
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live