Pelakon tinggi lampai Aiman Hakim Ridza ingin memastikan lakonannya dalam drama adaptasi siri Korea popular She Was Pretty harus setaraf atau lebih baik daripada pelakon asalnya, Park Seo Joon.

Namun, Aiman akui wataknya sebagai Haniff yang juga pelaku utama dalam siri romantik komedi itu akan dinilai dan dibandingkan dengan pelakon asal oleh peminat setia K-Drama tempatan.

"Saya akui ada sedikit tekanan apabila dapat tahu betapa besarnya nama dia (Park Seo Joon). Jadi saya fikir apa yang boleh ditambah baik daripada lakonannya dulu, mungkin ada kekosongan yang saya boleh isikan.

"Jadi saya perlu menjiwai watak itu dan mujur pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim banyak membantu dan membimbing saya.

"Memang agak mencabar untuk menambah baik lakonan daripada pelakon yang hebat," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih lakonannya, Fatimah Abu Bakar 'mengharamkannya' untuk menonton drama asal bagi mengelakkan dirinya terpengaruh dengan karakter Park Seo Joon.

"Cikgu Fatimah mengharamkan saya tengok She Was Pretty versi asal Korea. Kiranya saya perlu teka sendiri cerita dan watak dalam drama ini.

"Semakin mendalam, watak itu menjadi semakin besar dan membuatkan saya lebih faham. Tapi adakalany saya curi-curi tengok untuk mendapatkan momen-momen ikonik.

"Saya pun tak nak memandai-mandai buat benda yang peminat tak berapa suka," tambahnya.

A post shared by Aiman Hakim Ridza (@aimanhakimridza)


Aiman ditemui pada sidang media pelancaran drama bersiri adaptasi Korea, She Was Pretty di Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Selain Aiman, drama itu turut dibintangi Diana Danielle, Alvin Chong dan Daniella Sya.

She Was Pretty adalah sebuah drama romantik komedi berlatarbelakangkan sebuah syarikat majalah fesyen yang menceritakan kisah dua sahabat lama iaitu Nadia (Diana Dianelle) dan Haniff (Aiman Hakim Ridza).

Mereka bertemu semula selepas bertahun terputus hubungan dan menjalani perubahan besar dari segi nasib hidup dan penampilan diri mereka.

She Was Pretty sudah mula ditayangkan di platform penstriman video Viu mulai 23 Jun lalu dengan dua episod baharu boleh ditonton setiap minggu pada Khamis.