Bintang Big Stage 2022, Aisha Retno mengakui keadaan dirinya kurang sihat sepanjang konsert suku akhir yang berlangsung pada Ahad.

Menceritakan keadaan sebenarnya, kata Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 21, mengalami muntah-muntah sebelum membuat persembahan, dipercayai akibat gastrik.

"Alhamdulillah, tak ada apa yang serius dan saya tak ada pun pengsan. Tetapi saya mengaku yang saya memang kurang sihat.

"Saya ada beberapa kali alami muntah... mungkin disebabkan penyakit gastrik. Benda ini dah biasa tapi mungkin sebab malam tadi saya kurang sihat.

"Saya diberitahu pihak berkenaan untuk saya lebih baik pulang terus dan tidak menghadiri segmen penyingkiran," ujarnya.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


Konsert suku akhir Big Stage 2022 menyaksikan Aisha yang menyampaikan lagu Bengawan Solo nyanyian asal Hetty Koes Endang itu menduduki tempat pertama.

Menariknya, Aisha turut memecah rekod mendapat markah tertinggi sebanyak 97 peratus daripada barisan juri tetap iaitu Ajai, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Aliff Aziz.

Persembahan Aisha bukan sahaja mendapat pujian ramai malah, Ajai dan Siti Nurhaliza juga memberi standing ovation kepadanya.

Biarpun dalam keadaan tidak sihat, namun penyanyi itu tetap memberikan persembahan yang luar biasa.

"Saya nak buat persembahan terbaik setiap minggu, tak kisah sakit atau dalam keadaan macam mana pun. Tetap saya kena buat persembahan sebaik yang mungkin.

"Sebab orang tak tahu kita sakit ke atau buat pembedahan ke... sebab orang nak tengok kita buat persembahan yang baik sahaja. Itu yang saya tetap lakukan.

"Orang nak tengok kita punya magic atas pentas. Belakang punya cerita, lupakan. Saya sentiasa tanam dalam fikiran untuk buat yang terbaik," ujarnya.

Dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Alif Satar, tugasan mengacara bagi kapsul Studio Big Stage pula disandang oleh Isha Norsham.

Sementara itu, personaliti ERA, Muna Bella dan Haiqal dari Thinker Studios pula digandingkan sebagai pengacara untuk program Big Stage Live Plus yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Penerbitan Big Stage 2022 turut disokong oleh CUCKOO dan OPPO selaku Penaja Utama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Radio Rasmi.

Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50,000dan RM25,000 beserta trofi.

Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.

Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari.

Big Stage 2022 juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018).

Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019) manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).