Hiburan
Aizat Amdan Terjemah Rasa Cinta Menerusi....
Setelah kejayaan lagu Sampai Ke Hari Tua, dan Harapan Jadi Nyata pada tahun 2018 serta tampil dengan lagu dedikasi khas untuk arwah bapanya Angin Lalu pada Januari lalu, kini penyanyi dan komposer tersohor Aizat Amdan tampil dengan karya terbaharunya yang berjudul Waktu.
Lazimnya bila disebut lagu cinta, ramai yang membayangkan lagu berentak balada atau slow atau mid tempo, namun Aizat cuba memberi variasi baru kepada lagu tema cinta menerusi Waktu.
Lagu ciptaan Aizat sendiri bersama Anas Amdan ini diberikan sentuhan muzik kontemporari, dan berentak lebih laju berbanding lagu-lagu yang dikeluarkan Aizat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sekali lagi mengangkat tema cinta, namun kali ini Aizat cuba menterjemahkan rasa cinta bukan sahaja menerusi bait liriknya serta melodi yang catchy, malah menerusi gubahan lagu yang membayangkan suasana cinta di awang-awangan.
Lagu yang turut menampilkan vokal kakak Aizat sendiri, Ili Zuhair Amdan ini merupakan lagu tema cinta tempatan yang berada di kelasnya yang tersendiri.
"Jika sebelum ini Sampai Ke Hari Tua lebih santai rentaknya, lebih romantis bunyinya. Kali ini saya mahu terbitkan a wedding anthem yang lebih up-beat.
"Ada feel good vibe. Menerusi Waktu saya cuba menggambarkan istilah love is in the air! Kalau lagu ini dimainkan di majlis perkahwinan memang sangatlah bertepatan dengan suasana yang meraikan cinta.
"Saya berharap agar Waktu mendapat sambutan positif pendengar muzik tempatan dan menjadikan lagu ini lagu cinta mereka.
"Semoga lagu ini dapat menyamai kejayaan Sampai Ke Hari Tua yang menjadi lagu pilihan dalam majlis perkahwinan,” kata Aizat.
Waktu merupakan terbitan Kasi Gegar Entertainment dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar.
Single ini boleh didapati dikesemua pelantar digital bermula 22 November 2019.
Must-Watch Video