Hiburan

Yayasan RI Salur Dana Pembangunan Ummah Kepada UM, USIM

gempak
Mya Amri
22/11/2024
18:45 MYT
Sponsor Banner
Yayasan RI Salur Dana Pembangunan Ummah Kepada UM, USIM
Memikirkan menjadi tugasnya berkongsi ilmu dan merintis usaha pembangunan ummah, Datuk Rizalman Ibrahim merintis kerja-kerja dakwah di bawah payung Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI) yang diasaskannya.

Yayasan RI

Ketika satu demi satu ilham berdakwah menjelma dalam fikirannya, Rizalman, 53, menyedari itu merupakan tanda kebesaran Allah yang menjentik hatinya untuk menggerakkan perjuangan memakmurkan masyarakat dengan ajaran-ajaran murni yang dituntut oleh agama.
Justeru, tidak pernah terlintas di hatinya untuk mengambil alih tugas ulama dan cendekiawan Islam, jauh sekali, mahu mendabik dada menayangkan pada seluruh masyarakat kepetahanya berbicara mengenai agama.
Sebaliknya, bagi anak jati Pulau Pinang ini, Yayasan RI melalui entitinya, Dar Al-Qari Resources berpendapat, usaha dakwah yang dianjurkan hanyalah dalam lingkungan dan kemampuan pertubuhan itu sahaja.

“Tugas kami hanya menyahut cabaran mengisi kekosongan material ilmu agama. Yayasan RI berusaha mencari dana dan menyalurkannya kepada rakan kami yang memiliki kepakaran.

“Kami di Yayasan RI tidak memiliki semua kepakaran itu, justeru, kerjasama dengan pihak ketiga seperti Universiti Malaya dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Insya-Allah akan membantu merealisasikan hasrat Yayasan RI dan dalam masa sama memenuhi keperluan di gelanggang ilmu agama,” kata Rizalman.

Rebut saham akhirat

Sebagai ‘pelabur,’ Rizalman bersama seluruh pasukannya di Yayasan RI tidak lekang daripada mencari dan merebut peluang pelaburan saham-saham akhirat.
Bahkan, Yayasan RI juga, jelasnya, turut mengajak seluruh umat Islam umumnya dan pengikut-pengikut ‘Rizalman Ibrahim’ di media sosial khususnya untuk bersama-sama mencari saham akhirat itu.

“Nawaitu kami di Yayasan RI ialah mahu mengajak masyarakat khususnya golongan dewasa untuk mencintai kalam suci al-Quran selain menghayati dan mendalami ilmu-ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab suci,” jelas Rizalman yang juga Prof Adjung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya itu lagi.

Antara kerja dakwah signifikan yang sedang diusahakan oleh Yayasan RI melalui Dar Al-Qari Resources ketika ini ialah penerbitan Kutub Sittah edisi bahasa Malaysia dengan kerjasama Jabatan al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Menerusi kesepakatan yang dicapai, dana sebanyak RM2.25 juta disalurkan Yayasan RI kepada jabatan itu bagi penerbitan terjemahan Kutub Sittah merangkumi enam kitab sahih utama serta menaik taraf makmal al-Quran.
Keenam-enam kitab Kutub Sittah yang akan diterjemahkan itu ialah Jami’ At-Tarmizi, Sunnan Abu Daud, Sunnan Ibnu Majah, Sunnan an-Nasaie, Sahih Muslim dan Sahih Al-Bukhari.
Kolaborasi dua rakan strategik ini dalam kerja-kerja penerbitan Kutub Sittah ini melibatkan usaha bersepadu dan komprehensif yang mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.
Dalam usaha memastikan projek terjemahan ini tidak tersasar dan menepati maksud asal, Yayasan RI dan Jabatan al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya mengundang penglibatan ramai ulama, mufti, pakar-pakar hadis selain pakar bahasa.
Projek terjemahan itu akan diketuai oleh Prof Dr Ishak Suliaman yang juga Ketua Jabatan al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya serta pakar rujuk hadis dalam negara.

Kerjasama dengan USIM

Dalam masa sama, Yayasan RI juga menjalin kerjasama dengan USIM melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dalam projek terjemahan kitab suci al-Quran bagi memenuhi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) dengan dana disalurkan sebanyak RM3.96 juta.
Dana yang disalurkan kepada USIM oleh Yayasan RI itu mencakupi pelaburan yang mengambil masa enam tahun bermula dari kerja-kerja kajian dan penyelidikan sehingga proses penerbitan siap sepenuhnya.
Projek terjemahan kitab suci al-Quran bagi memenuhi keperluan OKU pendengaran tidak kurang pentingnya.
Sekalipun, sasaran keperluan terjemahan ini terhadap kepada golongan OKU pendengaran, namun, kekosongan itu perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya.
Projek terjemahan ini, akan dikenali sebagai Projek al-Quran IshaRI.
ARTIKEL BERKAITAN:Hebat! Rizalman Ibrahim Terima Lantikan Akademik Kedua, Kini Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

ARTIKEL BERKAITAN:Tak Berhenti Buat Kebajikan, Yayasan Rizalman Ibrahim salur RM500,000 Baik Pulih MCH Liverpool

ARTIKEL BERKAITAN:Rizalman Kongsi Video Ajar Cara Kacau Teh! - "Habuan Pelepas Rindu Hangpa"

ARTIKEL BERKAITAN:"Walaupun Ada Istana Kat Malaysia Ni, Tapi Cheq Tak Makan Ikan Salmon" - Rizalman

ARTIKEL BERKAITAN:Pakai Jubah Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Rizalman Ibrahim ‘Throwback’ Zaman Konvo - “Tak Berubah, Makin Segak”

Sebelum ini, Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum sudah membangunkan kitab bahasa isyarat dan kali ini Yayasan RI dan pusat penyelidikan itu berpendapat, adalah penting untuk Projek al-Quran IshaRI pula dibangunkan bagi membantu golongan ini menguasai ilmu al-Quran dengan pendekatan yang mudah diterima mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Dar Al-Qari Resources, Jailani Jantan berkata, sebetulnya, pendekatan berdakwah yang sering diambil oleh Yayasan RI ialah berbeza dengan amalan yang lazim dilakukan sebilangan besar pertubuhan lain.

“Kami di Yayasan RI cuba lari daripada dakwah yang klise atau kebiasaan, setiap usaha yang kami lakukan bersifat inklusif dan menyedari ada keperluan untuk melakukannya.“Setiap kali memikul amanah, kami memikirkan impak dana jariah masyarakat untuk jangka panjang kepada umat Islam.

“Pulangan jariah haruslah tinggi dan perkongsian itu pula haruslah memberi manfaat kepada umat Islam secara umumnya,” tegas Jailani.
Selain dua projek utama itu, Dar Al-Qari Resources juga telah menubuhkan kelas pengajian al-Quran yang dikenali sebagai Al-Qari secara percuma kepada mereka yang berminat.
Sehingga kini, dua buah pusat pengajian Al-Qari sudah beroperasi di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Sementara, projek masa hadapan yang kini sedang giatdiusahakan ialah penubuhan KaRIah Rimba yang disifatkanJailani, sebagai ‘flagship’ Yayasan RI.
KaRIah Rimba, jelas Jailani, akan menjadi pusat hentian setempat bagi aktiviti keilmuan Yayasan RI merangkumi pembelajaran pelbagai cabang ilmu agama.
Dalam kesibukan merealisasikan projek-projek masa depanitu, Jailani berkata, Rizalman sebagai pemikir utama di sebalik Yayasan RI juga memanjangkan pelbagai ilham lain seperti penubuhan Qari International bagi menyalur bantuan bagi kerja-kerja dakwah di peringkat antarabangsa.
“Sementara penubuhan KaRIah pula ialah pusat pengajian lanjutan yang memberikan fokus pada pengajian tafsir al-Quran dan hadis, diikuti dengan penuhan KaRiah Asli/ Pribumi iaitu pusat pengajian al-Quran dan hadis serta fardu ain yang memberi fokus kepada masyarakat Orang Asli,” kata Jailani lagi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024