"Akan Kembali Berlakon Semula" - Faye Kusairi Buat Comeback Selepas Habis Berpantang

Amri Hassan
Julai 19, 2018 20:25 MYT
Pelakon Faye Kusairi memberitahu dia akan kembali ke bidang lakonan selepas habis berpantang.
Kenyataan Faye sekali gus menjawab teka-teki dalam kalangan peminat sama ada dia masih ingin kekal dalam bidang seni atau tidak.
"Buat kalian yang tertanya tanya, Faye masih mahu kekal dalam bidang seni ni? Ya. Masih...
"Insya-Allah, jika diberi peluang untuk bekerja semula selepas rehat seketika sebab mengandung dan berpantang, memang Faye akan kembali berlakon semula," tulis Faye di Instagramnya.
Malah, ruang masa sepanjang tempoh berpantang digunakan Faye untuk menulis skrip drama bersama suaminya, Azmi Hatta.
"Sementara menunggu peluang untuk kembali di depan kamera, Faye banyak juga luangkan masa menulis sinopsis untuk drama dan telemovie.
"Alhamdulillah. first telemovie idea asal gabungan saya dan suami bakal ke udara di Ntv7 berjudul Formula Cinta, lakonan Aprena Manrose dan Isa Khan. Nantikan ya!" tambah Faye.
Faye dan Azmi Hatta telah bernikah pada 9 April 2017 dan menyambut kelahiran bayi sulung lelaki mereka pada 9 April lalu.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @fayekusairi
#pelakon #Faye Kusairi #Pelakon #Azmi Hatta