Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

"Akan Membataskan Kebolehan Pelakon...Tak Masuk Akal!" - Michael Ang Tak Setuju Larangan Finas Solek Pelakon Muda Jadi Tua

Asraf Aided
21/11/2019 06:33 MYT
Pengarah popular, Michael Ang membantah kenyataan terbaru dari pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang melarang pelakon muda disolek menjadi tua.

Menurut Michael, larangan itu tidak munasabah dan hanya akan membataskan kebolehan seseorang pelakon dalam berkarya.

Perkara itu diluahkan menerusi ruangan Instagram TV (IGTV) di akaun miliknya semalam.

"Sebelum ini peraturan okay sahaja, tapi kali ini tak masuk akal! Larangan menyolek pelakon muda menjadi tua akan membataskan kebolehan seseorang pelakon.

"Sebagai contoh, jika saya ambil Syafiq Kyle, dia boleh melakonkan watak dalam lingkungan umur sehingga 38 tahun, selepas paras umur tersebut, sudah tentu saya akan gunakan solekan untuk dia membawa watak yang lebih tua, saya pasti Syafiq boleh melakonkan watak tua," kata pengarah drama Sweat Dreams ini.

Dalam pada itu, Michael turut mempersoalkan pelakon veteran manakah yang tiada kerja kerana dia sendiri sentiasa memberi peluang kepada pelakon veteran seperti Hamidah Wahab dan Norlia Ghani.

"Pelakon veteran tiada kerja, siapa? Saya sendiri ada ambil pelakon veteran seperti Hamidah Wahab dan Norlia Ghani.

"Sepatutnya, pihak Finas harus mencadangkan untuk mengutamakan pelakon veteran, beri ruang untuk mereka, bukannya melarang pelakon muda disolek menjadi tua," tambah Michael.

Salam semua. Masih tak puas hati dgn LAW baru Finas ni! Sila tgk sampai habis sebelum komen. This is the truth! And satu lagi I rasa Finas should ubah statement ke rules tu. Cause to me it is so tak masuk akal n silly. I am sure there are many other better ways to address this issue.

A post shared by Michael Ang (@michaelang38) on


Semalam, pengurusi Finas, Datuk Hans Isaac mengeluarkan kenyataan bahawa semua stesen televisyen tidak akan membenarkan pelakon muda disolek untuk memegang watak tua dalam drama dan telefilem terbitan mereka bermula Januari tahun hadapan.
Difahamkan, peraturan terbaru itu bertujuan untuk memastikan jaminan pelakon veteran masih ditawarkan pekerjaan.

#Michael Ang #FINAS