Stesen radio Suria FM memaklumkan bahawa akaun media sosial Instagram mereka, @suriamalaysia tidak dapat diakses, dipercayai digodam pihak tidak bertanggungjawab.

Perkara ini disedari oleh pihak Suria FM pada petang semalam setelah tidak dapat mengakses akaun Instagram tersebut dan carian nama Suria Malaysia tidak dapat ditemui.

Menurut Pengurus Kanan Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, Suria FM sedang berusaha untuk mendapatkan kembali akaun tersebut.

“Kami masih lagi meminta pasukan IT untuk periksa dan laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia.

"Kami juga akan membuat laporan polis pada hari ini untuk menggelakkan keadaan bertambah buruk dan lebih banyak akaun yang diikuti Suria Malaysia digodam.



“Kami ingin menasihati pengikut-pengikut akaun Suria Malaysia untuk tidak melayan sebarang DM dan mesej palsu yang menggunakan nama Suria Malaysia atau nama asing,” jelasnya menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada Gempak.

Sebarang maklumat terkini hanya akan dimaklumkan melalui akaun media sosial Facebook dan Twitter Suria FM sahaja buat sementara waktu.



Terdahulu, akaun Instagram @suriamalaysia telah mengumpul seramai hampir 333,000 pengikut.