HIBURAN
“Saya Terima Apa Saja Cacian, Makian Dan Teguran Untuk Perbaiki Lakonan” - Ahirine Ahirudin
Pelakon, Ahirine Ahirudin, 29, menjelaskan dakwaan dia menerima tawaran filem tanpa mempertimbangkan kualiti hingga menjejaskan kutipan panggung.
Menurut Ahirine, perkara tersebut di luar kawalannya kerana ia bergantung kepada pilihan penonton.
Namun baginya, setiap peluang berlakon sebelum ini memberinya pendedahan untuk terus mengembangkan kerjaya dalam industri lakonan.
“Orang suka atau tidak suka itu adalah subjektif. Saya akan tengok skrip sebelum saya pilih (naskhah) dan juga untuk pemilihan dibuat untuk pendedahan saya dalam lakonan.
“Macam mana kita nak perbaiki diri kalau tidak mencuba?
“Saya terima apa-apa cabaran, cacian, makian (penonton) dan saya ambil teguran untuk memperbaiki lakonan saya,” katanya kepada Gempak.
Meskipun filem lakonannya kurang mendapat sambutan, Ahirine tetap menerima kritikan secara positif dan terus berusaha memperbaiki mutu lakonannya tanpa berputus asa.
“Saya tidak pernah berputus asa, kalau rasa ‘down’ tu semua memang normal tapi kita kena tahu apa kesilapan kita untuk lebih berusaha memperbaiki semuanya.
“Orang tidak kisah berapa banyak kita usaha. Terpulang dekat kita sendiri nak perbaiki atau tidak sebab orang tidak akan kisah pun walaupun dah tahu usaha kita. Mereka cuma nak tahu keputusan saja,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Ahirine bakal muncul dengan filem Raya Emas: Salako Sacred Treasure yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 3 April ini.
Must-Watch Video