Pelakon kontroversi Fara Mendoza mengakui telah memberikan kerjasama kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pengubahan wang haram, malam tadi.

Fara memberitahu perkara tersebut menerusi paparan Instagram (IG) Storynya sebaik sahaja selesai disoal siasat.

“Alhamdulillah, saya tak bersalah, syukur. Hari ini 1/10/2020 saya telah dipanggil hanya untuk memberi kerjasama,” tulisnya.

Menerusi ruangan sama, Fara turut menyebut tentang kemewahannya di laman sosial IG yang menjadi pertikaian warganet.

“Nampak mewah di Instagram tak semestinya saya dapat dari hasil duit haram. Bertabahlah wahai hati,” tulis Fara lagi.

Bagaimanapun beberapa jam kemudian Fara memberitahu akaun banknya telah dibekukan, kediaman digeledah dan telefon bimbit telah diserahkan kepada pihak SPRM untuk tujuan siasatan.


“Akaun dibekukan, apa dosa saya? Rumah digeledah, HP (handphone) diserahkan. Semoga semuanya dipermudahkan.

“Fight for my right! Berani kerana benar,” luahnya.

Terdahulu media melaporkan beberapa selebriti dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram.

Siasatan kes berkenaan dijalankan oleh Unit Siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM.