20 minit saja sudah cukup mencetuskan rasa panik dalam kalangan netizen di beberapa negeri yang terkesan dengan impak terputus bekalan elektrik (blackout) petang Rabu.

Tanda pagar #blackout sendiri menjadi topik sohor kini di Twitter dan beberapa platform media sosial yang menyaksikan pelbagai perkongsian serta kisah lucu dari netizen.

Ada yang bergelap di dalam tandas, ada yang panik ketika sedang sibuk membeli-belah, malah ada juga yang meluahkan rasa bimbang impak 20 minit itu memungkinkan pelbagai senario tidak elok seperti terperangkap di dalam lif dan sebagainya.


Gempak meninjau beberapa perkongsian netizen di media sosial Twitter, Facebook dan Instagram sepanjang petang. Berikut antara perkongsian yang sempat dikongsikan mereka:


BACA: Beberapa Kawasan Di Empat Negeri Tiba-Tiba Blackout! TNB; "Pasukan Kami Sedang Kenalpasti Punca"

Terkini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan bekalan elektrik di semua kawasan yang mengalami gangguan tengah hari tadi telah berjaya dipulihkan sepenuhnya pada jam 3:00 petang.

Menerusi satu kenyataan pada Rabu, TNB mendapati gangguan bermula pada jam 12.39 tengah hari itu berpunca daripada kerosakan salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Menurutnya, kerosakan itu mengakibatkan kehilangan beban kuasa sebanyak 2.2GW (Gigawatt) yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

Wakil TNB turut memaklumkan, kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit selepas gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Terdahulu, AWANI melaporkan beberapa negeri lain turut terjejas dengan masalah sama. Antara negeri turut dilaporkan terjejas seperti Kedah (Alor Setar dan Sungai Petani), Negeri Sembilan (Nilai dan Seremban) dan Pahang (Kuantan dan Pekan).