Pelakon Rashidi Ishak mengesahkan dirinya telah dijangkiti virus berbahaya COVID-19 selepas menjalani kuarantin kendiri sejak beberapa hari lalu.

Jelas Rashidi, 48, dia mula mengalami demam teruk dan sakit-sakit badan sebelum pihak produksi menguruskan untuk menghantar doktor datang ke rumahnya untuk pemeriksaan lanjut.

"Maka bermulalah staycation 10 hari yang tak dirancang.

"Aku dah buat test bila team produksi berhenti penggambaran kerana ada kes di set. Masa tu negatif. Aku pun mulalah kuarantin kendiri di rumah.

"Tapi bila dua hari sudah aku tiba-tiba demam teruk dan badan sakit-sakit, aku bagitau pihak produksi. Mereka uruskan doktor datang ke rumah buat swab test, kali ni confirm aku positif. Doktor tu cakap jangan panik, ambil ubat dan monitor sendiri keadaan. Dia akan lapor pada KKM," ceritanya.

Melanjutkan kisah, Rashidi gagahkan diri untuk ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) berhampirannya untuk prosedur lanjut biarpun keadaannya ketika itu masih lemah.

"Petangnya, pegawai kesihatan call aku tanya soalan-soalan lazim kepada pesakit COVID-19. Aku pun jawab dengan tenang. Dia minta aku pergi pusat penilaian covid (CAC) terdekat. Dia hantar kat aku semua link berkenaan COVID-19. Aku pun book appointment secara online.

"Jadi pagi tadi (semalam) aku pun pergi lah CAC Nilai dengan keadaan aku yang sakit-sakit satu badan, kepala berdenyut-denyut.

"Aku disambut oleh pegawai perubatan yang lengkap dengan PPE tu semua. Selepas check maklumat asas, aku pun dikawal selia oleh doktor, blood pressure dan level oksigen.

"Macam-macam dia tanya. Doktor beri aku slip untuk aku scan buat report harian dan dia bagitau aku kalau sesak nafas call 999," ceritanya.



Difahamkan sedang menjalani kuarantin kendiri, Rashidi menasihati orang ramai agar sentiasa menjalani ujian pengesanan COVID-19 terutama yang mempunyai simptom tertentu.

"Pihak penerbit pula hantar kat rumah aku stok makanan dan juga oxymeter, supaya aku boleh check level oxygen.

"Aku minta maaf menyumbang kepada statistik kes COVID-19. Korang semua, jaga diri, SOP. Sumpah tak best sakit ni. Aku yang dah ada dua dos vaksin pun masih sakit tahap gaban.

"Terima kasih keluarga dan kawan-kawan yang call, yang mesej, yang video call. Kalau aku tak jawab tu maknanya aku tengah tidur, mabuk ubat.

"Kalau korang ada simptom pergilah check. Take care and stay safe!" tambahnya.