Awal Januari lalu, penyampai radio Suria FM, Tyzo kehilangan ibunya, Hasnah Shaari yang telah pergi menghadap Illahi.

Sungguhpun reda dengan pemergian insan tersayang, namun, jauh disudut hatinya, tersimpan rasa terkilan mengenai hal-hal yang selama ini hanya dipandang remeh sepanjang usia bergelar seorang anak.

“Baru-baru ini, saya kembali berlakon untuk drama khas raya terbitan Suria FM iaitu Dodol Tak Bergula. Ada satu babak yang memperlihatkan pelakon Wan Maimunah, yang memegang watak sebagai ibu saya kononnya meninggal dunia.

“Ketika itu, memang teringat kembali momen-momen bersama ibu saya. Memang buat saya sebak. Pada waktu saya lakonkan babak berkenaan, saya bayangkan saya memeluk ibu saya. Tak tahu nak kata macam mana.

“Mungkin saya ada rasa bersalah kerana saya salah seorang yang tak pernah hargai ibu bapa. Saya tak nak kata saya baik, tetapi mungkin saya jarang balik kampung dan tengok orang tua. Kita lebih seronok dengan kawan-kawan dan saya salah seorang daripada individu yang sebegitu,” katanya kepada Gempak.

Tyzo ditemui pada majlis berbuka puasa dan tayangan drama raya Dodol Tak Bergula anjuran Suria FM yang berlangsung di Hotel Eastin, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar, Tuah Zulqarnain itu turut menasihati orang ramai supaya selalu pulang ke kampung menjenguk ibu bapa sementara hayat mereka masih ada.

“Ada masa dan ruang jenguklah ibu bapa di kampung. Jangan sekadar hulur duit sahaja. Sebab mereka bukan nak duit sangat… tapi ibu bapa sebenarnya nak tengok wajah kita.

“Kalau boleh, balik ke rumah mereka, jangan duduk di hotel atau homestay. Sempit macam mana pun, panas macam mana pun, tidurlah di rumah mereka. Momen seperti itu tidak dapat dijual beli,” katanya menutup perbualan.