Negara Scotland mengambil langkah drastik apabila menghalang pemain bola sepak remaja berumur 12 tahun ke bawah menanduk bola.

Larangan itu diambil bagi tujuan mengelak kemungkinan timbul masalah penyakit dementia ketika dewasa.

Menerusi laporan Astro Awani, pemain bola sepak tiga setengah kali ganda lebih terdedah kepada risiko menghidap dementia berpunca daripada aksi tandukan.

Satu kajian University of British Columbia pada 2018 mendapati, saluran darah yang mengandungi protein dikaitkan dengan kerosakan sel saraf setelah berlaku aksi hentaman di kepala.

Sebiji bola beratnya hampir setengah kilogram dan boleh mencapai kelajuan hingga 128 kilometer sejam (kmsj) apabila singgah dan melantun di kepala pemain bola sepak.

Apabila singgah di kepala, otak yang sebenarnya terapung dalam kaviti tengkorak akan melantun ke dinding belakang dan mengakibatkan kelebaman.

Namun begitu, pegawai perubatan Persatuan Bola Sepak Scotland (Scottish Football Association) John MacLean mengaku tidak terdapat bukti yang konklusif mengaitkan aksi tanduk bola dengan penyakit dementia.

Dr McLean walaubagaimanapun mahu aksi tanduk bola dibendung bermula dalam kalangan remaja berumur bawah 12 tahun.

Untuk rekod, dementia adalah sejenis penyakit otak yang progresif dan ia boleh membawa kepada penurunan dalam menjalankan aktiviti harian.

Sebahagian dari pesakit dementia kurang dan tidak berupaya melakukan aktiviti-aktiviti harian.

Mereka juga sukar untuk menyelesaikan masalah atau mengawal emosi.

Sumber: Astro Awani