Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Alami Alahan Teruk, Tom Terpaksa Tolak Tawaran Menyanyi Buat Sementara Waktu - “Kali Terakhir Mengandung 10 Tahun Lalu Namun…”

Asyikin Mayudin
14/07/2023 00:06 MYT
Setelah 10 tahun tidak mempunyai anak kecil, penyanyi Tom mengakui bukan mudah untuk dia melalui proses kehamilan disebabkan peningkatan usia.

Mengalami alahan kehamilan yang agak teruk, isteri kepada penyanyi Fuad Rahman ini mengambil keputusan untuk menolak tawaran menyanyi buat sementara waktu.

“Setiap kali saya hamil, memang alahan yang teruk, cuma apabila semakin meningkat usia, badan semakin lemah berbanding dulu. Kali terakhir mengandung 10 tahun lalu, namun diberikan rezeki untuk mengandung lagi.

“Kandungan saya masih lagi baru, nak masuk dua bulan. Sebelum ini tiada rezeki kerana saya memang seorang yang lasak dan banyak ‘show’ namun kali ini terpaksa kurangkan kerana kesihatan pun tidak mengizinkan.

‘Alhamdulillah selepas mendirikan rumah tangga dengan Fuad, saya banyak ditawarkan untuk membuat persembahan di Singapura. Pakej suami isteri dan menumpang rezeki Fuad di sana.

“Namun buat sementara waktu ini, saya terpaksa menolak dulu persembahan kerana badan tidak kuat. Hanya mampu baring dan makan namun mesti muntah. Bukan ‘morning sickness’ tetapi pagi petang, siang dan malam,” katanya.

Kongsi Tom, hidungnya juga menjadi bertambah sensitif dengan bau-bauan sejak hamil malah, dia juga tidak dapat memasak sepanjang tempoh ini kerana alahan yang dialami.

“Saya tidak boleh menghidu sesuatu yang terlalu wangi dan sebarang bau-bauan. Malah, bau anak-anak dan suami pun boleh membuatkan saya pening dan loya.

“Oleh itu, sepanjang tempoh ini saya pun tidak boleh memasak kerana tidak tahan dengan bau. Memang lemah betul keadaan saya ketika ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Alahan Buat Tom Berhenti Merokok - "Dari Umur 16 Tahun Hisap, Lepas Ni Insya-Allah Tak Nak Sentuh Rokok Lagi"

ARTIKEL BERKAITAN: "Kata Nak Rahsia..." - Fuad Rahman 'Kantoikan' Tom Kini Hamil Sebulan

Tom dan Fuad mendirikan rumah tangga pada majlis tertutup pada 26 Februari lalu.

Sebelum ini, Tom dan Fuad pernah menjalin hubungan cinta pada 2005, namun, berpisah pada 2010 apabila Fuad ditahan Polis Singapura dan dihukum penjara akibat penyalahgunaan dadah.

Cinta mereka bertaut semula selepas masing-masing terbabit dalam musim kesembilan Gegar Vaganza (GV9), tahun lalu.


#Hamil #Alahan #Tom #Fuad Rahman #Fuad #Tom Gv9 #Tom alahan #Tom hamil
;