Usahawan kosmetik Datuk Seri Vida bersyukur apabila hak Hadhanah ke atas kedua-dua orang anak Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin (Cik B), 16 dan Muhammad Eric Zaquan, (Kacak) 14, berpihak kepadanya.

Datuk Seri Vida atau Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata keputusan tersebut dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty selepas mengambil kira kemahuan kedua-dua anak.

“Alhamdulillah, saya harap kes ini tidak lagi dipanjang-panjangkan. Keputusan adalah di atas budi bicara Yang Arif.

“Saya selama ini tidak pernah halang Cik B dan Kacak untuk berjumpa atau berhubung dengan bapa mereka, tetapi keadaan tidak mengizinkan.

“Setakat ini keputusan hak Hadhanah itu kepada saya, buat masa ini (atas kemahuan Cik B dan Kacak) tidak sesuai lagi untuk bertemu dengan ayah mereka atas sebab-sebab tertentu,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Datuk Seri Vida pada jam 10 pagi tadi hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu. bersama Cik B dan Kacak ditemani peguam mereka, Nurul Suhada Ab Aziz.

Dalam pada itu Datuk Seri Vida berkata dia tidak akan menghalang sekiranya Cik B dan Kacak mahu menghubungi bapa mereka menerusi panggilan telefon ataupun Whatsapp.

“Mahkamah pun dah memberi arahan kalau boleh biarlah Cik B dan Kacak yang hubungi bapa mereka. Cik B dan Kacak boleh hubungi bapa mereka supaya tidak terputus hubungan silaturahim.

“Apapun saya berasa lega kerana keputusan ini tidak menganggu emosi anak-anak saya, kerana itulah yang terbaik.

“Tetapi jangan kata Cik B dan Kacak anak derhaka pula sebab yang menghadapinya kami, orang lain tak tahu (apa yang berlaku),” tegasnya.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan bekas suami kepada jutawan kosmetik, Mohd Amin Yasin gagal mendapatkan hak hadanah untuk bertemu dengan dua anaknya.


Dalam prosiding itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty mengarahkan Cik B dan Kacak menghubungi bapa mereka, sekurang-kurang sebulan sekali.

Abu Bakar berkata, ia bertujuan mengelakkan ikatan silarutahim antara anak dengan bapa terputus.

“Mahkamah turut memberikan hak kepada kedua-dua beradik itu untuk membuat keputusan bertemu bapa mereka sekiranya sudah bersedia.

“Ibu (Datuk Seri Vida) tidak mempunyai hak untuk menghalang kedua-dua anak sekiranya bersedia untuk bertemu ayah mereka,” katanya