Sejuk hati melihat perkongsian Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri atau lebih popular dengan panggilan Dr Zulkifli di media sosial baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Instagram, Zulkifli yang sepatutnya pulang ke rumah selepas memberikan bantuan kepada beberapa keluarga asnaf di Nilai, Negeri Sembilan ternampak seorang penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Tanpa berlengah, beliau meminta pembantunya untuk menghubungi dan pihak polis dengan kadar segera, sementara beliau turut sama dengan orang awam membantu menenangkan mangsa yang terlibat.

“Selepas mengagihkan bantuan kepada beberapa buah keluarga asnaf di Flat Nilai Perdana bersama Charity Care Malaysia, saya bercadang untuk pulang terus ke rumah. Dalam perjalanan, berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal di simpang Nilai Perdana.

“Saya minta pegawai saya telefon ambulan dan polis segera. Alhamdulillah, pelbagai bangsa datang untuk membantu mangsa, mengalih motosikal dan mengawal lalu lintas. Inilah keunikan dan keindahan Malaysia. Saya bersyukur tidak ada sebarang pergaduhan berlaku,” tulisnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil kesempatan dan berpesan kepada pengikutnya supaya sentiasa berhati-hati dan sentiasa mengamalkan doa menaiki kenderaan.

“Melihat keadaan mangsa kemalangan yang masih terkejut, saya berbual-bual dengan mangsa dan cuba menenangkan. Dalam masa yang singkat, ambulan sampai dan kami sama-sama papah beliau menaiki ambulan.

“Kemalangan boleh berlaku di mana-mana. Pastikan anda mematuhi peraturan jalan raya. Sebagai tambahan bagi Muslim, jangan lupa untuk sentiasa amalkan doa menaiki kenderaan. Moga kita semua selamat sampai ke destinasi yang dituju,” tulisnya.

A post shared by Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (@drzulkifli.albakri)