Kes bekas peserta program keagamaan, Da'i Syed yang didakwa atas dua tuduhan seksual melibatkan seorang pelajar kolej swasta berumur 22 tahun ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Mac 2021.

Memetik laporan BH Online, Hakim Mahkamah Sesyen, Jamaludin Mat dan Majistret Muhammad Iskandar Zainol telah menetapkan tarikh itu ketika kes disebut di hadapan mereka.

Peguam yang mewakili Syed, Syed Amirul Syed Edros memaklumkan mahkamah menetapkan tarikh sebutan itu memandangkan kertas siasatan kes tidak dibawa ke mahkamah semalam.

Dalam pada itu, Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful mengatakan dia sedia dibicarakan.

"Kepada yang mendoakan dan menyokong saya dari awal sampai hari ini, saya okay.

"Alhamdulillah, saya makin gemuk dan berisi," katanya ringkas menjawab soalan tentang kesediaan untuk dibicarakan.

Pada prosiding berkenaan, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shanur Farrahin Shapti dan Zamriah Zarifah Aris.

Terdahulu, Syed mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan mahkamah pada 10 Disember tahun lalu.

Di Mahkamah Sesyen, Syed didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan tabii terhadap seorang wanita yang juga pelajar kolej berusia 22 tahun.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah yang terletak di Damansara Perdana sekitar jam 3 hingga 4 pagi pada 17 Oktober 2020. Pendakwaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Sementara di Mahkamah Majistret, Syed didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang sama dengan maksud mahu mencabul kehormatannya di lokasi, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Untuk pertuduhan merogol seorang wanita pula, ia sepatutnya berlangsung di Mahkamah Sesyen Shah Alam 25 Januari lalu, namun ditunda ke 16 Mac ini.

Sebutan baru kes tersebut ditetapkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu.