Bollywood power couple, Ranbir Kapoor, 39, dan Alia Bhatt, 29, kini telah selamat bergelar pasangan suami isteri pada Khamis.

Ranbir mengahwini Alia dalam sebuah majlis di kediaman pelakon lelaki itu di Vastu, Mumbai, India. Majlis itu hanya dihadiri kenalan dan keluarga rapat pasangan itu.

Antara yang hadir menjadi saksi penyatuan pasangan itu ialah ibu kepada Ranbir, Neetu Kapoor serta sepupu Ranbir, Karisma dan Kareena Kapoor.

Selain itu, bapa kepada Alia, Mahesh Bhatta dan ibunya, Sonia Razdan turut hadir.

Meskipun majlis diadakan secara tertutup, pasangan itu tampil bertemu dengan wakil media sekitar pukul 7 petang semalam selepas selamat bergelar suami isteri.

Malah, pasangan itu turut berkongsi foto-foto pada hari bahagia mereka di Instagram.

"Hari ini, bersaksikan keluarga dan rakan rapat, di kediaman kami yang merupakan spot kegemaran kami sepanjang lima tahun hubungan ini, kami akhirnya berkahwin.

"Kami teruja untuk melakarkan lebih banyak memori indah bersama-sama. Memori yang dihiasi dengan kecintaan, gelak tawa, perselisihan faham yang melucukan dan pelbagai lagi.

"Terima kasih untuk segala kasih sayang sepanjang hidup kami. Ia membuatkannya menjadi lebih istimewa," tulis pasangan itu.



Untuk rekod, Alia dan Ranbir mula bercinta sekitar 2017 selepas bersama-sama terbabit dalam penggambaran filem Brahmastra.