Pihak MeleTOP hari ini mengumumkan penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar tidak akan menjadi pengacara ketiga bersama Nabil Ahmad dan Jihan Muse untuk Anugerah Meletop Era (AME2020).

Pengumuman itu dibuat menerusi sebuah entri yang dimuat naik di Instagram (IG) MeleTOP, sebentar tadi.

"Awal tahun ini, kami telah mengumumkan Alif Satar sebagai pengacara bersama Nabil dan Jihan bagi AME 2020. Susulan berita bahawa Alif positif Covid-19, fokus kami yang utama adalah untuk melihat Alif pulih seperti sedia kala agar dapat kembali ke pangkuan keluarga tercinta dengan segera.

"Walaupun kini Alif telah pulih, kami masih mengambil berat akan tahap kesihatan beliau memandangkan peranan sebagai hos acara siaran langsung memerlukan kerahan tenaga yang banyak dan raptai siang malam, yang sedikit sebanyak akan memberi tekanan fizikal dan mental.

"Merujuk pada situasi ini, pihak AME2020 dan Alif sendiri dengan berat hati telah mencapai kata putus untuk mengumumkan pengunduran Alif sebagai hos AME 2020.

"Walau bagaimanapun, jangan risau, Alif tetap akan memainkan peranan dalam AME 2020," tulisnya.

Dalam pada itu, pihak MeleTOP menyatakan siapa gerangan yang menggantikan posisi Alif akan diumumkan keesokan hari pada jam 8 pagi.

"Pihak MeleTOP dan ERA juga mengalu-alukan cadangan anda untuk hos ketiga AME 2020.

"Pihak kami sekarang berusaha untuk mencari pengganti dan Insya-Allah kami akan umumkan hos baharu jam 8 pagi esok di Era dalam segmen Johara Pagi ERA. Nantikan," tulisnya lagi.

A post shared by MeleTOP (@meletop)


AME2020 bakal berlangsung 20 Disember ini akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Bagi rakaman acara Karpet Merah AME2020 yang dibawakan oleh Astro GO pula akan disiarkan jam 8.30 malam pada hari yang sama sebelum siaran malam kemuncak.

Istimewa untuk pelanggan Astro yang memiliki dekoder ‘Ultra Box’, AME 2020 turut didatangkan dengan format kualiti 4K UHD menerusi saluran khas 780.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, AME 2020 turut boleh distrim menerusi perkhidmatan Astro Go dan On Demand.