Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Aliff Teega Mengaku Kahwin Dua - “Terima Kasih Isteri Pertama Saya Kerana Bersabar”

Amri Hassan
26/11/2023 14:55 MYT
Pempengaruh media sosial Alif Teega mendedahkan dia sudah berkahwin kali dua pada 18 November lalu.

Alif berkata, tujuan dia berkongsi status terkini dirinya itu kerana enggan menimbulkan sebarang fitnah dan menjawab segala khabar angin yang bertebaran.

“Mungkin selama ini ada yang terdengar atau memang tahu berita mengenai saya sudah bernikah. Baik Alhamdulillah berita itu adalah benar. Saya sudah pun bernikah.

“Saya harap tidak dipanjangkan lagi isu ni.
Terima kasih kepada isteri (pertama) saya Aisyah Hijanah kerana bersabar dengan apa yang berlaku serta tabah dan kuat berada di sisi menemani saya walaupun saya tahu perit bagi mana-mana wanita untuk menerima hakikat ini,” katanya dalam satu hantaran terbaharu di Instagram miliknya.

Menurut Alif, dia mengaku berita perkahwinan keduanya itu bukan satu hal yang mudah buat isteri pertamanya namun memohon orang ramai mendoakan agar hubungan mereka berkekalan.

“Selama Aisyah menjadi isteri saya, tiada sebarang kekurangan. Doa saya agar Allah hanya kekalkan kami sehingga ke syurga. Tapi percaturan Allah buat saya & Aisyah adalah berbeza.

“Terima kasih atas doa daripada kalian semua buat kami. Aisyah adalah wanita pilihan Allah dan Subhanallah kuatnya dia luar biasa dan saya juga takjub dengan kekuatannya dalam hadapi setiap ujian yang datang.

“Saya tak rasa wanita lain sanggup berada di tempat dia. Saya mohon agar tiada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi dan hinaan mengenai hal ini dan biarlah segala yang berlaku di akhiri di sini sahaja,” katanya.

Biarpun sudah mengesahkan mengenai perkahwinan keduanya, namun butiran mengenai identiti isteri keduanya itu masih menimbulkan tanda tanya.

Sementara itu, Aisyah turut mendoakan kebahagiaan Alif bersama madunya dan berharap orang ramai tidak bercakap buruk mengenai perkahwinan mereka.

"Doakan yang baik-baik buat kami berdua. Saya mohon agar tidak berkata yang buruk kepada Alif mahupun isteri barunya," tulisnya.

Untuk rekod Alif dan Aisyah mendirikan rumah tangga pada 2017 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.

Oktober lalu, Aisyah mendedahkan perkahwinan mereka cuba dihimpit pihak ketiga yang juga pekerja sendiri.

Aisyah juga memaklumkan dia turut membawa Alif berubat selepas dia dipercayai terkena penyakit ain selain gangguan sihir pemisah.

#Aliff Teega