Hiburan

All Star Buka Panggung: "Platform Ini Tambah Peminat Baru Untuk Meminati Saya" - Rosyam Nor

gempak
Zulaikha Yusof
12/10/2019
08:37 MYT
Sponsor Banner
All Star Buka Panggung: "Platform Ini Tambah Peminat Baru Untuk Meminati Saya" - Rosyam Nor
Pelakon, pengarah dan penerbit popular, Datuk Rosyam Nor telah tersingkir pada minggu separuh akhir program realiti hiburan spontan, All Stars Buka Panggung (ASBP) yang berlangsung di Royal Theatre Shah Alam malam tadi.
Menurut Rosyam, dia menerima keputusan tersebut dengan tenang memandangkan keputusan sepenuhnya bergantung kepada undian penonton.
"Ini semua berdasarkan undian peminat jadi saya terima keputusan ini.
"Peserta lain mereka ada kelab peminat jika ingin dibandingkan dengan saya. Saya sepenuhnya bergantung kepada prestasi persembahan.
"Lagipun niat saya terlibat dalam program ini hanyalah untuk bersuka ria bersama rakan -rakan yang lain.
"Saya anggap ini bukan rezeki saya untuk ke pentas akhir ASBP," katanya kepada Gempak.
Rosyam berkata demikian di sidang media yang diadakan sejurus selepas tamatnya program tersebut.
Dalam pada itu, Rosyam berpendapat platform ASBP mampu menarik golongan muda untuk meminatinya.
"Tujuan saya memasuki pertandingan ini adalah untuk menarik peminat baru untuk meminati saya.
"Walaupun saya tersingkir, tidak bermakna peminat saya sudah berkurangan boleh jadi makin bertambah.
"Saya adalah peserta paling berumur dalam program ini. Bila saya dapat bersama-sama bertanding dengan mereka, saya seiring dengan peredaran zaman.
"Kalau saya letak diri saya sebagai seorang 'Superstar', saya tidak merasai semua ini," tambahnya lagi.
Seramai lima orang peserta telah berentap untuk menempatkan diri mereka ke pentas akhir yang bakal berlangsung minggu hadapan.
Namun di minggu separuh akhir, Datuk Rosyam Nor telah diumumkan sebagai peserta yang tersingkir untuk minggu keenam.
Hanya empat orang peserta iaitu Datuk Aaron Aziz, Zulhuzaimy, Rita Rudaini dan Noorkhiriah.
Pada minggu keenam, setiap pelakon perlu menjayakan satu segmen dan mereka harus menjayakan babak secara spontan bersama gandingan sama ada Ajak atau Shahrol serta artis undangan seperti Mark Adam, Tomok, Bell Ngasri, Zulin Aziz dan A.R. Badul.
Menggungguli markah keseluruhan, Zulhuzaimy telah berjaya mengalahkan empat peserta lain pada minggu keenam ASBP dengan kutipan markah sebanyak 23.22 peratus.
Manakala, tempat kedua diikuti oleh Noorkhiriah (20.37%), Rita Rudaini (18.88%), tempat keempat, Datuk Aaron Aziz (18.85) dan Datuk Rosyam Nor dengan markah sebanyak 18.60%.
Penerima sumbangan sebanyak RM4,000 minggu ini adalah Nurul Kamal Mohamad Zainuddin atau lebih mesra dikenali sebagai Kamal Pendek.
Pusingan akhir pula akan berlangsung pada minggu ketujuh.
ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.
Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.
Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira pula menggalas tugas sebagai Seri Dewi Panggung.
ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.
Program ini akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live